Wednesday 12 February 2014

Pentingkah pengurusan kewangan?

Pengurusan kewangan bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup kita. Malah ia bukan perkara kedua atau ketiga penting dalam hidup kita. Saya setuju dengan kenyataan tersebut. Namun, untuk membolehkan kita menikmati kebanyakkan benda dalam hidup ini, kewangan kita perlulah terurus. Jika di lihat pada situasi zaman sekarang, kadar inflasi yang semakin meningkat menyebabkan kos sara hidup meningkat dan ditambah lagi pendapatan yang kecil untuk menampung kos kehidupan yang besar. Emm.... sudah tentu keadaan tersebut akan membuatkan kita terbeban jika pengurusan kewangan kita tidak dirancang dan diruruskan dengan sebaik mungkin.

"Perancangan kewangan bukan suatu pilihan dalam kehidupan seseorang." Begitulah yang dinyatakan oleh Polly Ghazi dan Judy Jones dalam buku mereka yang berjudul Downshifting- the guide to happier, simpler living. Dalam negara ini, mahu atau tidak, kita terpaksa berlumba untuk terus maju. Justeru, perancangan kewangan kita perlu dilakukan dengan betul dan sewajarnya mengikut panduan yang benar. Dengan erti kata lain, perancangan atau pengurusan kewangan bukanlah sesuatu yang dibuat hanya apabila seseorang itu akan bersara. Sewajarnya ia dilaksanakan dari awal lagi, atau lebih tepat lagi.. sekarang! fast action, fast result..

Jika kita gagal berbuat demikian, maka masa depan kita akan gelap dan berkemungkinan besar kita tidak akan dapat menikmati kebahagian dan kesejahteraan seperti yang di idamkan. Oleh itu, wang kini menjadi satu enigma. Kita lebih gemar memberikan perhatian kepada perkara-perkara penting dalam kehidupan ini seperti pencapaian dan kesihatan, tetapi pada masa yang sama, kita juga mengharapkan wang sentiasa datang melimpah dan terurus dengan sendirinya. Malangnya, di Malaysia... tidak ramai yang suka berbicara perihal kewangan malah ia dianggap suatu pantang larang. Banyak keluarga enggan berbincang mengenai kewangan, apatah lagi untuk membincangkan cara menambah atau melindungi wang tersebut. Ramai yang lebih senang berbincang mengenai seks berbanding wang. Mungkin mereka merasakan perkara berkaitan wang sebagai perkara peribadi menyebabkan mereka kurang senang untuk berbicara tentangnya. Hanya segelintir sahaja yang sanggup berbuat demikian,dan itu pun untuk menghebahkan kejayaan mereka di pasaran saham atau untuk mempekenalkan "skim cepat kaya" mereka. Sebaliknya, ramai yang memilih untuk diam membisu atas alasan kalau tidak buka mulut maka orang tidak tahu akan kejahilan mereka terhadap pengurusan kewangan.

Mereka berharap kejahilan mereka itu tidak akan diketahui oleh orang ramai, tanpa menyedari bahawa dengan mengambil sikap sedemikian mereka juga tidak berpeluang untuk mempelajari sesuatu yang baru. Jalan penyelesaiannya mudah, Kita perlu menguruskan kewangan kita untuk memastikan kita tidak tergolong dalam golongan yang gagal. Oleh itu, ilmu pengurusan kewangan adalah penting untuk mengatur wang kita dengan baik. Cukupkah wang untuk membiayai pengajian anak-anak kita kelak?  Adakah wang kita cukup untuk menampung kehidupan 20 tahun selepas bersara kelak? Sudahkah kita menyimpan wang untuk masa kecemasan? Jika hidup bergantung pada kasih sayang dan rukun damai sahaja tidak memadai. Wang juga yang diambil kira akhirnya! Anda setuju?


0 ulasan:

Post a Comment