Thursday 21 March 2013

"Walaupun kita miskin, hidup kita memang sengsara". Pada post-post yang lepas, kita telah mengetahui serba sedikit perkara-perkara yang boleh membuatkan kita sering mengalami masalah kewangan. Dalam topik seterusnya, saya ingin mengajak anda sama-sama melihat wang secara menyeluruh. Lupakan sementara akan usaha mencari wang, bertenang dan usah terburu-buru, tarik nafas dalam-dalam agar kita dapat melihat dan faham akan peranan sebenar wang dalam kehidupan kita. Mari kita menjenguk sebentar kepada situasi yang berlaku di luar negara kita. Bedasarkan statistik semasa di Australia, hanya 8 peratus daripada 100 orang kanak-kanak akan berdikari daripada segi kewangan menjelang umur 65 tahun! 38 peratus akan meninggal dunia, 38 peratus hidup miskin dan 16 peratus lagi terpaksa terus berkerja untuk menyara hidup. Tujuh daripadanya berupaya bersara dengan pendapatan yang mencukupi dan hanya SATU!, YA!.. hanya satu yang menjadi kaya. Ini bermakna 92 peratus telah gagal untuk menguruskan kewangan mereka dengan betul. Ringkasnya, berhubung dengan soal wang, kebanyakkan orang tidak menguruskannya dengan betul.

Mungkin ada yang berkata yang statistik ini dari Australia, bukan negara yang mempunyai ramai orang kaya ataupun jutawan. Baik. Mari kita tinjau pula negara yang paling kaya di dunia. Hah negara apa lagi yang mendapat gelaran polis dunia, Amerika Syarikat lah. Juara pejuang masyarakat kapitalis. Apabila kita memperkatakan wang, itulah tempatnya. Negara itu menjanjikan kemewahan kepada semua yang rajin berusaha dan berkaliber. Memang jutawan ada di setiap ceruk penjuru negara itu. Dari segi teori, berasaskan pengetahuan dan kebijaksanaan, seharusnya semua rakyat Amerika boleh berdikari daripada segi kewangan mereka.

Dan dari segi teori juga, memang benar jumlah jutawan di Amerika lebih tinggi berbanding tempat-tempat lain di muka bumi ini iaitu seramai 9 juta orang pada tahun 2008. Memang benar ramai lagi yang akan menjadi jutawan pada masa akan datang. Tetapi pada masa yang sama juga, peratusan simpanan peribadi ( sebagai peratus pendapatan boleh guna ) telah jatuh daripada paras 9 peratus pada tahun 1973 kepada kurang daripada 1 peratus sepanjang dekad ini. Malah, hanya lima peratus pesara di Amerika boleh berdikari daripada segi kewangan! Sama seperti rakyat di Australia, hanya lima peratus rakyat Amerika dapat menikmati kegemilangan hari-hari tua mereka, sementara 95 peratus yang selebihnya mempunyai masa depan yang gelap. Ini bukanlah apa yang diidam-idamkan oleh mana-mana insan di dunia ini. Apatah lagi untuk mengaitkannya dengan rakyat negara terkaya di dunia. Hakikatnya, di negara yang kaya-raya sekali pun, masih terlalu ramai orang tidak menguruskan kewangan mereka dengan betul.

Wednesday 20 March 2013

Socrates, ahli falsafah Yunani yang terkenal, suka pergi ke pasar di Athens. Beliau suka merayau-rayau dari gerai ke gerai dan singah sejenak untuk melihat barang jualan yang dipamerkan. Walaupun kerap ke sana, beliau tidak pernah membeli apa-apa. Seorang rakan bertanya sebabnya. Jawapan klasik yang diberikan. "Saya sentiasa kagum melihat begitu banyak barang yang tidak saya perlukan". Anda perlu ingat bahawa kejadian itu berlaku pada tahun 400M!. Sekiranya pada zaman itu sudah terdapat banyak benda yang tidak diperlukan oleh manusia maka bayangkan berapa banyak benda yang ada sekarang yang tidak diperlukan oleh kita semua. Saya juga mendapati bahawa saya tidak memerlukan lebih daripada 90 peratus barangan yang dijual pada masa ini. Benda-benda tersebut langsung tidak boleh mengubah hidup saya atau keluarga saya. Jadi jika saya membelanjakan wang yang dicari dengan titik peluh saya untuk membeli barang-barang tersebut, saya sebenarnya telah berlaku zalim kepada diri sendiri, keluarga,dan juga sesama insan. Apabila membelinya, saya menggalakkan pengeluar menghasilkan lebih banyak benda yang tidak berguna.


Demikianlah serba sedikit perkara-perkara yang menyebabkan wang kita sentiasa kering sebelum waktunya. Semoga bertemu di post yang berikutnya.

Tuesday 19 March 2013

Pesanan mel televisyen ialah industri berbilion dolar di Amerika Syarikat. Jadi tidak hairanlah ramai orang yang mencuba mencetak wang menerusi cara yang sama di negara ini. Memandangkan keadaan yang ada sekarang ini, nampaknya sedikit demi sedikit mereka berjaya berbuat demikian Jadi elok rasanya kita beringat-ingat sebelum kita terjebak sama. Anda mungkin telah menonton produk yang diklankan di televisyen setiap petang. Peralatan hebat yang diperagakan oleh model yang tegap sasa bagaikan dewa dan dewi Yunani. Kurangkan berat badan, kurangkan ukuran badan dan sebagai tambahan, kurangkan juga wang anda!

Satu daripada helah yang digunakan dalam iklan seperti ini berbunyi, "Produk ini tidak ada dijual di kedai malah hanya boleh dibeli menerusi pesanan mel televisyen". Hebat, bukan? Mereka berjaya menjadikan satu kelemahan sebagai satu daya tarikan. Pernahkah anda terfikir mengapa mereka berbuat demikian?. Ok, cuba sama-sama kita fikirkan. Sekiranya produk itu betul-betul hebat, mengapa pengeluarnya tidak mengedarkan sahaja produk-produk mereka yang hebat itu di kedai-kedai agar lebih tinggi potensi produk berkenaan terjual?. Antara sebabnya adalah kerana produk itu baru diperkenalkan. Pengeluarnya, tidak begitu yakin dengan produk yang kononnya hebat itu. Mereka mahu melihat sambutan daripada orang ramai terhadap keluarannya. Maka, cara yang digunakan ialah, membuat pengeluaran yang terhad melalui pesanan mel. Sekiranya poduk ini laku, sudah tentu produk itu akan diedarkan di kedai-kedai. Sebaliknya, jika hanya tiga orang sahaja yang  membeli produk tersebut. Maka tamatlah riwayat produk itu. Dengan erti kata lain, mereka yang membeli menerusi pesanan mel televisyen merupakan mangsa percubaan semata-mata. Mereka kini memiliki produk yang tidak digunakan dan tidak lagi dikeluarkan. Jadi apa hebatnya?

Kemudahan perbankan internet telah bermula sejak lebih 10 tahun yang lalu. Terdapat pelbagai perbankan internet seperti Maybank2u.net, CIMB clicks dan lain-lain lagi. Saya juga telah menggunakan kemudahan ini untuk membayar bil, membeli topup kredit dan memindahkan duit ke akaun lain. Semuanya saya lakukannya hanya melalui internet tanpa perlu keluar rumah. Saya juga menggalakkan anda untuk menggunakannya. Ia memang mudah serta dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos. Kini saya membayar hampir semua bil saya menerusi perbankan internet. Ini bererti:

  1. Saya telah dapat menjimatkan masa, kerana saya tidak perlu memandu ke pejabat pos/bank/kedai topup dan sebagainya semata-mata hanya untuk membayar satu atau dua bil atau sekadar hendak membeli topup RM10...
  2. Saya dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu mambazirkan petrol, membayar tol, dan membayar tempat letak kereta.
  3. Saya dapat mengendalikan wang saya dengan berkesan kerana dapat membayar bil pada tarikh ia perlu dibayar
  4. Saya boleh memindahkan wang daripada akaun saya ke akaun lain hanya dalam beberapa minit.
  5. Saya mampu membeli topup, walaupun pada tengah malam kala kedai topup telah tutup.
Yang paling menyeronokan, saya tidak perlu beratur. Seperti orang lain juga, saya memang cukup malas untuk beratur, samalah malasnya untuk bertemu doktor gigi. Kenapa kita perlu lakukan perkara yang sukar, sedang kemudahan telah tersedia di depan mata. Jadi tunggu apa lagi, gunakan lah.

Monday 18 March 2013

Pengaruh dari iklan di TV, majalah, radio atau rakan-rakan sekeliling merupakan faktor penyebab ramai orang berbelanja besar untuk membeli kelengkapan dandanan diri dan alat solek setiap bulan. Ini termasuk syampu, perapi, deodoran, losen selepas bercukur, minyak wangi ( pastinya jenama terkenal), pelembab, sekurang-kurangnya lima jenis krim, sabun, maskara, celak, pengilat kuku, krim rambut, gel dan sebagainya. Senarai ini sahaja, sudah tiga baris. Erti kata lain, terdapat pelbagai barangan mahu dibeli dan sudah tentu banyak wang yang perlu dibelanjakan. Tujuan pengiklanan memang bertujuan untuk melariskan produk-produk keluaran syarikat tertentu. Dan memang perlu bagi kita untuk menjaga penampilan diri. Siapa yang sudi rapat dengan orang yang berbau hamis seperti kambing gurun! Tetapi ini tidak bererti kita perlu membeli wangian yang mahal, bagi membolehkan kita menjadi orang yang bersih. Mengunakan syampu atau perapi yang berjenama terkenal tidak akan dapat membantu kita menjadi orang yang lebih menawan.

Ada baiknya anda merujuk kepada buku yang ditulis oleh Dr Wayne Dyer berjudul Your Erroneous Zones yang memperkatakan penjagaan tubuh badan dan kesihatan diri. "Iklan yang disogok kepada kita saban hari mempengaruhi kita supaya membenci bau mulut, ketiak, kaki, kulit dan malah alat kelamin kita. Maka dengan menggunakan produk yang mereka tawarkan, segala permasalahan akan hilang. Sebagai contoh " Gunakanlah produk kami dan alamilah perubahan yang sebenar dan semulajadi".Seolah-olah anugerah Tuhan ini bukan bersifat semula jadi, sehingga kita terpaksa membeli kosmetik wangian untuk membolehkan kita berasa lebih selesa.

Saya cukup setuju dengan pendapat ini. Sebagai insan, kita dianugerahkan bau-bauan yang semula jadi. Ini bukan bermakna kita tidak perlu mandi. Tetapi mengapa kita harus menyembunyikan aura kita yang sebenarnya? Mengapa kita harus membiarkan industri iklan menentukan apa yang terbaik untuk diri kita? Mereka hanya akan mengesyorkan kita untuk berbelanja lebih bagi menyembunyikan diri kita yang sebenarnya.

Sunday 17 March 2013

Boleh dikatakan bahawa kompleks beli-belah dapat menawarkan pelbagai godaan bagi pengunjungnya. Buktinya, dengan menjawab soalan yang dikemukakan ini. Pernahkah anda ke kompleks beli-belah (sebagai contoh Jaya Jusco), untuk membeli satu atau dua barang pada mulanya tetapi akhirnya membeli lebih dari itu? Sering kali, bukan? Tahniah bagi yang tidak termasuk dalam kelompok yang dinyatakan dalam soalan tersebut. Tapi, bagi mereka yang pernah atau sedang mengalami situasi ini. Jangan panik dan risau. Perkara ini biasa berlaku pada kebanyakan orang, termasuk saya. Situasi ini sebenarnya boleh diubah dengan mengubah strategi membeli-belah kita.

Langkah pertama ialah buatkan senarai barangan yang ingin dibeli. YA!, anda perlu menyenaraian segala benda yang diperlukan dahulu sebelum ke kompleks beli-belah. Kemudian anda mesti membeli barang-barang yang tersenarai dan mengendahkan yang lain. Biar saya ulang sekali lagi. Anda hanya perlu beli barang-barang yang disenaraikan sahaja dan mengendahkan yang lain. Walaupun pada ketika itu, anda ternampak sesuatu yang menarik atau sesuatu yang diperlukan pada masa akan datang. Anda perlu mendisiplinkan diri, cuba pejamkan mata dan berlalu pergi. Fikir dan yakinkan pada diri anda bahawa adakah barangan itu benar-benar berguna, seandainya ia berguna anda boleh menyenaraikan dan membeli ketika anda berkunjung ke situ sekali lagi.

Kita juga boleh menjimatkan wang dengan cara tidak membeli-belah dalam keadaan lapar, dahaga atau letih. Ini kerana ketiga-tiga keadaan tersebut akan melemahkan daya ketahanan diri dan membuat kita mudah terpengaruh untuk membeli lebih banyak barangan daripada apa yang diperlukan. Yang lebih buruk lagi, kita mungkin terbeli barang/benda yang tidak diperlukan. Akibatnya, kita telah berbelanja lebih daripada apa yang dirancang.

Jadi, jika biasanya anda pergi makan selepas membeli-belah, lakukan sebaliknya. Makan dahulu dan kemudian baru membeli-belah. Anda boleh berjimat dengan hanya melakukan perkara yang mudah ini. Berikut merupakan satu lagi strategi yang boleh dipraktikkan bersama seandainya, anda masih belum juga dapat berjimat. Cuba bawa kalkulator ketika membeli-belah. Setiap kali anda memegang sesuatu, masukkan harganya ke dalam kalkulator dan kira jumlah yang akan dibelanjakan. Langkah ini diharapkan dapat membantu anda mengawal wang yang akan dibelanjakan. In Sha ALLAH.
Sekiranya anda gagal untuk merancang, anda sebenarnya merancang untuk gagal..



 
Suatu perkara yang sering kita terlepas pandang atau ambil berat ialah bil telefon. Oleh kerana kita sedang membincangkan perkara-perkara yang membuatkan kita sering mengalami masalah kewangan. Maka bil telefon kita juga perlu diberi perhatian dibincangkan. Memandang ramai orang, boleh dikatakan hampir semua orang kini memiliki telefon dan menggunakan kemudahan telekomunikasi tersebut. Kebanyakan orang membayar bil telefon sebanyak RM300 hingga RM400 malah lebih, setiap bulan. Ini tidak termasuk bil telefon bimbit yang sudah tentunya lebih tinggi.
Hanya segelintir sahaja yang mengangapnya sbagai perbelanjaan yang berlebihan.

Sebenarnya ia juga salah satu contoh perbelanjaan yang berlebihan. Kenapa? Mari kita sama-sama bincangkan. Kita membayar untuk bercakap. Jika membeli sesuatu, sekurang-kurangnya kita mendapat barangnya. Tetapi tidak dengan telefon. Kita bercakap dan justeru kita perlu membayar, walaupun kita tidak memperolehi sesuatu yang boleh dipegang atau dilihat. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan mengatakan bahawa mereka menggunakan telefon untuk memupuk hubungan suami/isteri/ibubapa/sahabat handai. Kasih sayang boleh bersemi dan dipupuk menerusi hubungan telefon. Saya bersetuju bahawa kita seharusnya memelihara silaturahim sesama kita. Tetapi! Ini tidak bererti bahawa kita perlu bergayut di telefon selama DUA jam, sedangkan 10 minit sudah memadai. Kasih sayang bukan diukur berdasarkan berapa lama kita berbual di telefon. Pelbagai cara lain yang oleh dilakukan lagi. Tapi, yang anehnya. Apabila kita berjauhan, ramai orang boleh bercakap berjam-jam lamanya di telefon. Namun, apabila mereka berada disisi orang yang dikasihi, mereka jarang berbual! ( seolah-oleh mereka tiada idea untuk dibualkan). Apabila mereka bersemuka dan boleh bercakap selama mana yang mahu dengan percuma dan tanpa dikenakan apa-apa bayaran, mereka sebaliknya menonton televisyen. Aneh sungguh orang yang sebegini, mereka lebih gemar bercakap berjam-jam lamanya di telefon dan dikenakan bayaran.Ish... ish.. Fikirkan lah.



Fesyen bukan hanya terbatas kepada pakaian sahaja. Ia juga merangkumi pelbagai aksesori seperti jam tangan, beg, cermin mata dan barangan kemas. Malah kini , perniagaan aksesori tersebut sebagai contoh jam tangan, merupakan sebuah perniagaan yang dilakukan secara besar-besaran kerana ia amat menguntungkan. Seseorang itu boleh memperagakan kejayaan di lengan dengan adanya jam tangan berjenama terkenal. Oleh sebab terdapat beribu-ribu jenis reka bentunya, sudah pasti ada antaranya yang akan menarik perhatian kita. Sebagai bukti bahawa menjual aksesori menghasilkan pulangan yang menguntungkan ialah terdapatnya pelbagai jenama aksesori kini. Malah syarikat yang tidak ada kena-mengena dengan fesyen turut ikut serta menghasilkanaya. Ini termasuklah syarikat yang menjual peralatan sukan, rokok, pelancongan, pengembaraan dan juga kereta!


Selain itu, komputer (serta aksesori yang berkaitan) dan kereta kini turut mengikuti perkembangan terkini. Segala barangan ini sentiasa diperbaharui supaya pengeluarannya mengaut lebih banyak wang. Tempoh antara pengeluaran sesuatu model baru bagi kebanyakkan kereta telah semakin berkurang. Sebagai contoh, kalau dahulu tempoh untuk perubahan model tujuh tahun sekali, kini tempohnya hanya tiga tahun. Dari segi perniagaan ia amat menguntungkan. Sekiranya kita bertukar kereta setiap tiga tahun dan bukan tujuh tahun, ia bermakna syarikat pembuat kereta akan memperolehi pendapatan yang berganda. Emm.. mungkin jarang ada orang yang bertukar kereta selalu, tetapi bagaimana dengan "handphone". Semua itu akan membuatkan saku kita sentiasa kering, jika kita terikut sama dalam mengejar perubahan fesyen yang tidak ada kesudahan.
Tahukah anda bahawa kita boleh berjimat dengan membeli barangan bermutu? Ini adalah kerana barangan bermutu biasanya tahan lebih lama berbanding barang yang murah ( walaupun kadang-kalanya tidak sebegitu). Kita tidak perlu membelinya selalu dan oleh yang demikian kita akan dapat berjimat untuk jangka panjang (sikit-sikit, lama-lama jadi gunung kinabalu). Perhatikan bahawa yang ditekankan disini ialah mutu dan bukannya jenama. Walaupun terdapat banyak jenama yang terkenal dan mahal, barangan tersebut tidak semestinya bermutu tinggi. Malah sebahagian besar nama-nama terkenal ini hanya gah pada nama sahaja. Erti kata lain, kita membayar untuk namanya dan bukan mutunya. Jelaslah, membeli barang berjenama terkenal ini bukan cara untuk berjimat-cermat kerana ia tidak semestinya boleh tahan lama. Jadi, apabila dikatakan mutu disini ialah barangan yang boleh tahan lama. Misalnya pakaian sepatutnya tahan dipakai sekurang-kurangnya lima tahun. Barangan lain seperti peti sejuk sepatutnya dapat berfungsi tanpa sebarang masalah besar sekurang-kurangnya 10 tahun. Hayat sesuatu barang sudah semestinya berbeza.

Apabila kita sedang menggayakan sesuatu mengikut fesyen terkini, ia akan memperlihatkan/membuktikan yang kita merupakan seorang yang sentiasa  mengikuti perkembangan fesyen dan gaya kegemaran ramai. Dengan beranggapan bahawa dengan memakai/menggayakan fesyen yang terkini akan membuatkan kita seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa boleh mendatangkan masalah kewangan yang serius dan juga mengeringkan saku kita. Langkah yang lebih bijak dan menjimatkan adalah dengan bersikap konvensional. YA! Dengan berbuat demikian anda pasti tidak akan ketinggalan zaman. Tidak kira musim atau zaman apa pun, pakaian konvensional sentiasa sesuai dengan perkembangan semasa. Dan inilah fakta dan bukan auta. Sebab mengapa pereka fesyen sentiasa menghasilkan fesyen baru setiap musim adalah kerana mereka mahu menjual pakaian mereka dan meraih lebih banyak wang!! Bayangkan jika fesyen hanya bertukar setiap lima tahun sekali, sudah tentu semua pereka fesyen akan tutup kedai.


Disini saya ingin kongsikan bersama sebuah cerita mengenai seorang pereka fesyen di Kuala Lumpur yang sudah tentu namanya terpaksa dirahsiakan. Memadailah saya katakan bahawa beliau merupakan seorang pereka fesyen ternama di negara ini. Pelangganya terdiri daripada selebriti-selebriti yang terpampang dalam majalah dan oleh yang demikian tidak hairan lah jika harga rekaannya mahal-mahal belaka. Anda hendak tahu dimana pereka fesyen yang bijak ini membeli pakaiannya sendiri? Di gedung diskaun! Sikap pereka fesyen ini seharusnya dipuji kerana pandai berjimat-cermat. Banyak wang yang mengalir masuk tetapi sedikit yang mengalir keluar. Pada masa yang sama, kita seharusnya mengambil teladan daripada beliau. Sekiranya pereka fesyen ternama seperti beliau tidak perduli mengenai fesyen, mengapa kita harus bersusah-payah berbuat demikian?

Saturday 16 March 2013

Walaupun kad kredit banyak kegunaannya, seperti diguna pakai di stesen minyak, untuk "shopping" & makan di kedai makan (sekadar menyebut 3 sahaja), namun ia sering kali disalah guna dan menjadi punca masalah kewangan. Oleh sebab transaksi kad kredit tidak melibatkan wang tunai, ia mendorong ramai orang berbelanja lebih berbanding trasaksi wang tunai. Transaksi tanpa menggunakan wang tunai ini mungkin membuat orang (yakni pengguna kad kredit) tidak merasakan bahawa mereka sesungguhnya sedang berbelanja. Mereka tidak merasakan yang wang itu sedang terbang melayang daripada saku mereka.
Hakikat ini memang cukup membimbangkan, namun padahnya ialah apabila mereka tidak dapat membayar bil kad kredit sepenuhnya. Selagi ada bil yang tertunggak, maka selagi itulah syarikat kad kredit senang hati. Mereka boleh mengenakan faedah yang amat tinggi. Keadaan inilah yang menjadi idaman syarikat kad kredit kerana ia amat menguntungkan mereka. Sekiranya mereka mengenakan faedah sebanyak 2 peratus setiap bulan ( peratusan yang nampak sedikit ) ini bererti 24 peratus setahun ( peratusan menjadi sangat besar jumlahnya ).

Cara yang paling selamat untuk tidak berbelanja lebih dengan kad kredit adalah dengan membatalkan semua kad kredit yang ada dan berbelanja hanya secara tunai. Walaupun kadangkala tindakan ini menyusahkan, terutama jika anda sering ke luar negeri. Namun inilah satu-satunya jalan penyelesaian bagi orang yang kuat berbelanja.

Tetapi, bagi mereka yang berfikiran waras/rasional ( seperti kita, ehem-ehem), mereka masih boleh memiliki kad kredit. Mereka hanya perlu belajar menggunakannya dengan bijak dan berhemat. Ini bererti mereka:

  1. Membeli keperluan seolah-olah mereka menggunakan wang tunai.
  2. Membayar bil sepenuhnya sebelum tarikh matang.
  3. Mengelak penggunaan kemudahan pendahuluan tunai.
Sebenarnya seseorang itu hanya memerlukan SATU kad kredit sahaja, dan yang paling penting, ia jauh lebih murah. Ini adalah kerana anda berkemungkinan berbelanja lebih apabila memiliki lebih daripada satu kad kredit. Oleh sebab anda sudah pun membayar yuran keahlian tahunan dan perbelanjaan sampingan yang lain, anda berasa wajar untuk berbelanja semat-mata kerana mahu menggunakan kad tambahan itu. Jadi ini bermakna lebih banyak wang yang akan mengalir keluar dari saku anda.

Ada yang berpendapat mereka menggunakan dua kad kredit kerana beralasan ada kad kredit yang tidak diterima di sesetengah tempat ( sebagai contoh stesen minyak ). Anda tidak perlu risau tentang itu, sekiranya satu kad kredit tidak diterima, maka berkemungkinan besar kad yang satu lagi juga tidak akan diterima. Anda juga tidak perlu risau berkenaan lambang status yang kononya (sekali lagi saya ulangi "yang kononnya") ada kaitan dengan kad kredit. Mereka yang berbelanja mewah dengan menggunakan kad kredit akan menampakkan mereka berkemampuan ( atau dengan kata lain "kaya" ).
Itu hanya wujud dalam iklan. Dalam kehidupan sebenar, tiada sesiapa pun yang akan berasa kagum dengan kad kredit kita, walaupun kad itu kad emas ataupun kad platinum. Semua orang terlalu ghairah menarik perhatian orang lain sehingga tiada masa untuk memberikan perhatian kepada kita.

Bagi yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kad kredit dari sudut pandangan islam, anda boleh mendapatkannya di http://zaharuddin.net/kewangan/258-hukum-penggunaan-kad-kredit.html

 

Monday 4 March 2013

Kebanyakan orang membeli sehingga had kemampua mereka. Jika had kewangan membolehkan mereka memiliki kereta BMW siri-5, maka itulah kereta yang mereka akan beli. Hanya sebilangan kecil yang mahu membeli BMW siri-3. Walaupun kereta itu tidak kurang hebatnya dan yang paling penting ianya jauh lebih murah.
Situasi ini bukan sahaja terhad kepada kereta tetapi juga benda-benda lain. Malah, ketika membeli rumah sekalipun, kebanyakkan orang mahu membeli rumah yang paling besar dan paling mahal yang termampu oleh mereka. Malangnya, mereka lupa atau sengaja lupa (mungkin) bahawa rumah tersebut perlu dilengkapi dengan perabot, peralatan, hiasan dan segala macam benda. Semakin besar sesebuah rumah itu, maka semakin banyak wang yang perlu dibelanjakan untuk membeli kemudahan-kemudahan tambahan tersebut. Walaupun rumah tersebut mungkin kelihatan lebih cantik, luas dan selesa. Namun, mereka tidak mampu menikmati kemudahan-kemudahan lain. Rumah yang sepatutnya membahagiakan kita, kini terasa seperti penjara. Bayangkan lah, jika situasi tersebut benar-benar berlaku pada kita. Sesetengah orang akan mempergunakan segala sumber kewangan mereka ( simpanan @ pelaburan) yang ada  habis-habisan sehingga apabila kadar faedah pinjaman melonjak naik pada akhir tahun 1990-an, mereka tidak berupaya membayar gadai janji yang turut naik melonjak!.. Nasib mereka ibarat,"sudah jatuh ditimpa tangga dan digilis komuter!!".. Sungguh dasyat dan sedih. Hidup mereka semakin tertekan dan kebahagiaan yang diimpikan selama ini terbang melayang.

Sebagai akibat kepada tabiat suka membeli secara berhabisan mengikut kemampuan, ramai orang TIDAK pernah cukup wang. Satu strategi kewangan yang baik adalah dengan membeli kurang daripada apa yang termampu. Barang dapat, duit pun jimat.. Semoga bertemu pada pos yang berikutnya.

Sunday 3 March 2013

Kadangkala terasa bagaikan ada undang-undang yang meminta orang mengubah suai kereta agar kelihatan seperti kereta  "sport". Ini adalah kerana terlalu ramai orang terutama golongan anak muda gemar sekali mengubah suai kereta mereka agar kelihatan seperti kereta "sport" atau "racing". Walaupun mereka bukan kaki pecut, tetapi kereta mereka perlu juga kelihatan seperti kereta sport. Jika ditanya, adakah mereka berminat dengan sukan lumba kereta?.Kebanyakkan (walaupun tidak semua) dari mereka akan memberitahu, yang mereka langsung tidak berminat dalam sukan lumba kereta. Pelik-pelik..

Jadi tidak hairanlah selain mengubah suai rumah, kegemaran kedua rakyat Malaysia adalah untuk membeli aksesori kereta. Ini termasuklah memasang cas turbo, rim sport, tayar dan spoiler yang tidak dapat dinafikan, ada sesetengah spoiler tersebut ada yang terlalu menjolok mata. Keadaan ini amatlah menyedihkan, kerana sudah tentu kesemua ini menelan belanja yang banyak. Yang lebih malang lagi, biar saya katakan bahawa alat-alat aksesori yang mahal tersebut hanya berjaya memukau/ memikat seorang sahaja-iaitu empunya kereta semata-mata. Gadis ( terutama yang bijak) tidak perduli dengan semua itu, begitu juga dengan pemandu-pemandu lain, apatah lagi dengan polis trafik, serta pihak yang mahu membeli kereta itu nanti. Malah ini akan membuatkan kereta itu sukar dijual.

Oleh itu, belilah atau biarkan lah kereta itu dalam keadaan yang seadanya dan jimat wang anda.Jika kereta itu jenis salun, biarlah ia kekal menjadi salun.Sudah semestinya jurutera yang mencipta kereta tersebut lebih mahir serta pakar dari anda. Pandulah mengikut kemampuannya dan janganlah mengharap ia dapat meredah gunung atau terbang di langit. Jika anda membeli sebuah Kancil, nikmatiah kereta ini yang jimat minyak dan mudah dipandu. Tidak ada alat atau aksesori yang boleh membantunya untuk memecut dengan laju. Kereta kancil yang telah di "modified" sesekali tidak akan dapat mengalahkan kereta lamborghini yang tidak di "modified". Hehe..



 Semoga bertemu di post yang berikutnya...

 

Thursday 28 February 2013

Memang sudah mejadi salah satu tabiat manusia itu sendiri, apa yang ada di tangan jarang disyukuri. Apa yang tiada,itulah yang sering dirisaukan ( diimpikan). Sikap sebegini bukan sahaja akan menyusahkan diri kita sahaja, malah kedudukan kewangan kita akan turut terjejas jika tiada langkah yang diambil untuk membendungnya.

Kita seharusnya menikmati apa yang kita sudah ada. Apa yang sudah kita ada dan miliki hendaklah dinikmati sepenuhnya. Dapatkan keseronokan yang sehabis-habisnya daripada segala yang kita miliki, sebagaimana kanak-kanak mendapat kepuasan yang sepenuhnya daripada barang mainan mereka. Malangnya tidak ramai yang mampu berbuat demikian. Mereka percaya bahawa mereka akan mendapat lebih banyak keseronokan daripada benda yang belum mereka miliki. Kebahagian sentiasa di luar cakupan mereka.Contohnya, walaupun sudah memiliki kereta BMW siri-3, mereka mahu BMW siri-5 pula. Justeru, kepuasan mereka kerana memiliki kereta BMW siri-3 yang canggih itu terasa hambar. Bagi mereka, kebahagiaan hanya dirasai apabila mereka berjaya membeli kereta yang lebih besar. Malangnya setelah membeli kereta siri-5 itu, mereka berangan-angan membawa BMW siri-7 pula.

Keadaan ini amatlah mendukacitakan, kerana ia bukan sahaja melambatkan seseorang itu menikmati kebahagiaan. Tetapi ia juga menelan belanja yang banyak. Mereka yang terjebak dalam kancah ini asyik berbelanja kerana memburu kebahagian yang pastinya tidak akan mereka kecapi.

Oleh itu, cubalah untuk belajar mengawal/menyekat dari kemahuan yang negatif seperti itu. Ubah kemahuan yang negatif itu kearah yang positif ( seperti tanamkan dalam diri sikap menabung dan berjimat cermat)..

Salah satu kegemaran rakyat Malaysia ( walaupun bukan semua yg berkeinan sedemikian) ialah berbelanja untuk mengubah suai rumah mereka. Sesetengah orang sanggup mengeluarkan jumlah wang yang sama banyak dengan harga rumah, untuk mengubah suaikannya. Dengan kata lain, mereka mampu membeli sebuah rumah lagi dengan wang yang dibelanjakan itu! Walaupun perkara tersebut nampak lucu, ataupun nampak tidak masuk akal. Namun itulah kebenarannya, kadang-kadang ia merupakan sesuatu perkara yang menyedihkan bagi sesiapa yang menyedarinya.

Memanglah keputusan untuk menambah bilik bagi menampung keluarga yang semakin membesar merupakan langkah yang bijak, akan tetapi kebanyakan orang menjadikan "ubah suai rumah" sebagai alasan untuk berbelanja besar. Sehingga sesetengah dari mereka sanggup untuk berhutang dengan bank, semata-mata untuk mencantikkan pintu pagar rumah mereka. Jika difikirkan semula, apakah untungnya berbuat demikian? untuk tujuan keselamatan atau menarik perhatian orang? siapa yang akan terpikat? Pencuri?.. Duit habis dan orang yang terpikat hanyalah pencuri. Alangkah sedih dan rasa ruginya kita, bila mengetahui hakikatnya yang sebenar.Pintu pagar adalah salah satu contoh, selain kipas, siling rumah dan sebagainya.

Sudah sampai masanya kita sedar, dan memberitahu kepada mereka yang belum menyedari bahawa berbelanja untuk megubah suai rumah adalah contoh belanja berlebihan. Sering kali, wang yang dibelanjakan untuk mencantikkan rumah membuat mereka merana. Rumah yang sepatutnya menjadi "syurga dunia" bagi mereka , kini bertukar menjadi penjara kerana terlalu banyak wang yang dibelanjakan untukya. Sehingga mereka tidak mampu untuk melakukan perkara-perkara lain. Mereka tidak mampu untuk menabung, mempunyai wang untuk modal perniagaan apatah lagi untuk melabur agar masa depan mereka lebih terjamin.

Kesimpulannya, belilah barang-barang rumah yang boleh mendatangkan faedah ( memenuhi keperluan). Tambahkan bilik, untuk apa? Ya, untuk menampung keluarga yang besar. Pasangkan kipas atau penyaman udara untuk memberikan keselesaan pada ahli keluarga dan cat rumah setiap beberapa tahun untuk menambahkan keceriaan. Ini bukan sahaja membuatkan suasana rumah kita lebih bahagia, malah turut menjimatkan wang. In Sha ALLAH..Oh rumahku, syurgaku!

Berjumpa di post yang berikutnya..



Tuesday 26 February 2013

    Sudah semestinya, setiap orang mempunyai idola masing-masing. Dari kanak-kanak hinggalah dewasa. Semuanya ada idolanya. Dan sewajarnya, mereka juga bukan sahaja meminati, malah juga ingin meniru gaya & cara idola mereka.Mereka membeli pakaian, kereta, kaca mata, telefon bimbit dan sebagainya yang sama seperti yang digunakan oleh idola mereka agar mereka kelihatan sama seperti idola mereka. Walaupun sesetengah dari perkara tersebut melibatkan kos yang mahal.

Namun kebanyakkan dari mereka, malah hampir majoriti tidak mengetahui atau sedar betapa mereka telah terpesong ( atau dalam kata lain " kurang bijak" ) dalam mengagumi idola mereka. Mereka sebenarnya meminati idola mereka bukan kerana pakaian atau paras rupa, tetapi mereka meminati idola mereka kerana idola tersebut mempunyai identiti yang tersendiri. YA!! itulah yang sebenarnya. Saya dan semua orang mengagumi sifat, keberanian, bakat serta kecekalan mereka. Dalam erti kata lain, mereka menjadi pujaan bukan disebabka gaya. Tetapi yang sebenarnya adalah nilai-nilai murni yang ada pada idola tersebut.


Oleh itu, marilah kita mengubah paradigma kita dari sekarang ( jika tidak bila lagi ), kerana orang yang berjaya akan segera melakukan perubahan positif. Kejayaan itu ibarat tangga Anda tidak semestinya berubah secara mendadak ( hakikatnya memang sukar untuk berubah), tetapi berubah sedikit & istiqamah melakukanya. Itu lagi baik. Tinggalkan tabiat membeli barangan yang remeh dan yang tidak diperlukan. Elakkan dari membeli barang secara melulu, tetapi belilah barang yang boleh membuat kehidupan anda lebih bermakna dan selesa. 

Maka benarlah, apa yang semua orang kagumi pada idola mereka. Hanyalah nilai keluhuran yang terdapat pada idola tersebut bukan pada gaya. Apa yang belaku kepada orang yang kita minati itu juga berlaku kepada diri kita sebenarnya, tanpa kita sedari. Seperti kita tidak menyanjung orang kerana harta benda mereka, begitulah juga orang lain tidak menyanjung & menghormati kita kerana harta yang kita miliki. Tiada sesiapa pun yang menyanjung kita kerana kita memiliki rumah yang tersergam indah, kereta yang mahal atau telefon bimbit yang canggih.

Untuk menguatkan lagi kenyataan, berikut merupakan bukti bahawa keluhuran lebih penting berbanding kebendaan. Sebagai contoh, lihat sahaja teman hidup kita. Teman hidup kita samada isteri/suami/kekasih/buah hati. Pada mulanya kita mungkin meminati mereka kerana rupa paras mereka, namun selepas itu hubungan kita akan berkekalan kerana hati budi. Ringkaskan, selepas tarikan pertama, keluhuran mengatasi segala-galanya dan gaya tidak lagi dititikberatan.

Kesimpulannya... Kurangkan membeli barang yang remeh dan yang tidak diperlukan. Tidak terlalu mementingkan gaya ( tidak semestinya anda memakai baju yang lusuh atau koyak rabak). Tingkatkan keluhuran dalam diri kita dan In Sha Allah,duit poket kita pun akan meningkat.

           Semoga berjumpa pada post yang berikutnya....





Sunday 24 February 2013

Hiduplah mengikut kemampuan!!! Hah itulah RAHSIANYA dan ini lah merupakan perkara asas menuju kebebasan kewangan. Mudah kan?? Ini bukan gurauan, ini betul-betul. Hiduplah mengikut kemampuan dan ukur baju di badan sendiri. Namun begitu, tidak ramai yg mampu melakukanya. Sebaliknya, mereka beria-ia berbelanja melebihi pendapatan. Membeli itu dan ini, sehinggakan perbuatan tersebut membawa padah kepada mereka kerana dibebani masalah kewangan & kesengsaraan.


Apakah yg dimaksudkan dgn hidup mengikut kemampuan??

Ia boleh dibahagikan kpda 3 bahagian (perkara).
  • Kita hendaklah berbelanja KURANG daripada gaji ( pendapatan ) kita setiap bulan. Walau sebanyak mana pun gaji/wang yg masuk.
  • Beli barang yg kita BENAR-BENAR MAMPU yg tidak melebihi sumber kewangan kita.
  • Perlu TERIMA HAKIKAT bahawa tidak semua benda kita mampu memiliki.
Jika anda mampu melakukan ketiga-tiga perkara tersebut, In Sha ALLAH.. sudah pasti anda berjaya. Klu x mampu, sya ada satu tips.. Anda cuba lakonkan watak yg memliki ketiga-tiga ciri tersebut selama sebulan. Bayangkan anda seorang yg kaya raya, mempunyai wang yg banyak dan memiliki ketiga-tiga ciri tersebut. Lakonkan watak tersebut dgn bersungguh-sungguh & konsisten.

Banyak kesan yg boleh diperolehi jika anda mampu melakukan ketiga-tiga perkara tersebut seperti:

  1. Anda tidak akn berhutang & terlepas dari melangsaikan faedah hutang yg membebankan.
  2. Masih mampu memiliki benda (walaupun tidak semua benda yg dinikmati oleh org lain).
  3. Anda mendapat kebahagiaan..
Dr David G. Myers menulis mengenai hubungan kekayaan & kebahagiaan dlm ukunya berjudul The Pursuit of Happiness. Beliau menyatakan bahawa kajian yg dijalankan di seluruh dunia membuktikan ada 2 cara untuk menjadi kaya; "Satu daripada caranya adalah dgn memilii harta yg banyak. Satu cara lg adlah untuk tidak mempunyai kehendak yg banyak"

Terdapat satu lg kajian dari Thomas J. Stanley & WiliamD. Danko, dlm buku sensasi mereka yg berjudul The Milionaire Next Door, mentakan bahawa 7 sifat sepunya yg ada pda jutawan di Amerika Syarikat.
Salah satu nya ialah, kesemua jutawan tersebut hidup tidak melebihi pendapatan mereka. Mereka bkn shja hidup mengikut keperluan, tetapi tidak melebihi kemampuan mereka. Hidup di bawah kemampuan mungkin kedengaran ganjil bgi kita, tetapi mungkin  itu sebabnya mengapa kita tidak menjadi jutawan seperti mereka!

Semoga bertemu pada RAHSIA yg seterusnya...


                   *Segala tips-tips ini adalah dipetik dari buku "Jutawan dari planet jupiter!" nukilan Azizi Ali.*



 


Friday 22 February 2013

Kita sering mendengar, wang adalah bukan segala-galanya. Tetapi, kita tidak dapat menafikan bahawa wang (duit) juga penting pada kebanyakkan perkara dalam kehidupan kita. Memang betul, wang bukan yang terpenting dalam kehidupan. Kebahagian, kesihatan, anak-anak, kereta, rumah (sekadar menyebut lima shja) juga merupakan perkara yang penting dalam kehidupan individu. Malah, kepentingan tersebut adalah berbeza bagi setiap individu mengikut latar-belakang ( sama ada keluarga @ perkerjaan) & keinginan.

Oleh itu, bagi kebanyakkan org tidak mengambil kesah terhadap kewangan mereka. Bagi mereka selagi masih dapat meneruskan hidup, sudah cukup. Mengapa perlu sentiasa memikirkan kewangan shja. Betul juga!! noktah... Namun, kenapa juga kita masih terdengar, rintihan & rungutan tentang mereka yang sering kekurangan wang?. Wang sentiasa tidak mencukupi untuk menampung pembelanjaan mereka. Kadang-kadang mereka seolah-olah merasakan bahawa mereka seperti tempat wang berpindah tangan shaja. Dapat wang, tetapi tidak dapat menyimpan. Segala wang yang diperolehi, habis digunakan untuk melangsaikan hutang yang datang bertubi-tubi dan silih berganti. Mereka sentiasa kesempitan wang. Walaupun kadangkala usaha diambil untuk memperbaiki keadaan, mereka terjebak semula ke dalam kancah kewangan yang pahit lagi getir.

Bagi golongan yang ditimpa masalah sedemikian, kebahagian hanyalah impian yang tidak akan tercapai. Dimanakah silapnya? Masihkah ada jalan untuk mereka @ kita mendapatkan kebebasan kewangan ( bebas dari masalah kewangan) ? Teruskan pembacaan anda dalam blog ini, kerana sya akan berkongsikan RAHSIA-RAHSIA & TIPS-TPS yang mungkin dpat membantu mereka yang mengalami masalah seperti yang dinyatakn sebelum ini..In Shaa ALLAH.. Teruskan lah membaca & bertindak lah, kerana hidup kita ini terlalu singkat untuk menjadi org yg biasa-biasa. Jadilah org yg LUAR BIASA krana sikap inilah yg dapat mengubah manusia itu secara keseluruhan. ALLAH tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..