Friday 7 March 2014

Sesetengah orang memperolehi pendapatan yang lumayan tiap bulan. Ramai yang  mempunyai pendapatan yang mencecah ribuan ringgit. Malah, ada yang lebih daripada itu sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Malangnya, walaupun wang banyak, keadaan mereka sama sahaja seperti orang yang mempunyai pendapatan ratusan ringgit. Mereka mempunyai gadaian yang membebankan, pinjaman kereta yang bertahun-tahun lamanya dan bil kad kredit yang tidak pernah langsai. Pada setiap hujung bulan, malah ada kalanya lebih awal lagi mereka sudah kehabisan wang untuk di belanjakan. Ini menunjukkan, pendapatan besar sahaja tidak menjamin kekayaa. Kekayaan ialah nilai bersih anda. Pendapatan ialah wang yang mengalir masuk. Jika yang mengalir masuk itu banyak, ia dapat membantu kita mengumpul kekayaan. Tetapi keadaan tidak semestinya begitu. Sekiranya wang mengalir keluar itu sama atau lebih banyak daripada wang yang mengalir masuk, hidup kita pasti akan merana!!

Wang mudah diperolehi. Asalkan kita bekerja, kita akan memperolehi pendapatan. Setuju???  Masalahnya ialah bagaimana untuk menguruskan wang yang sudah ada di dalam saku kita. Tidak hairanlah, jika ramai yang TERSILAP kerana tidak memberikan tumpuan yang sewajarnya kepada wang di dalam saku tetapi sebaliknya terlalu menitik beratkan usaha untuk mendapatkannya. Mereka hanya tahu satu cara sahaja untuk mendapatkan wang yang banyak iaitu dengan bekerja lebih keras. Golongan sebegini boleh kita kategorikan sebagai mereka yang hanya memberikan tumpuan kepada zon serangan sahaja.

Memang tidak salah, kita memberikan tumpuan pada zon serangan. Tetapi, malangnya kebanyakan mereka terlalu asyik memburu wang sehingga mereka lupa untuk membuat wang tersebut menghasilkan pulangan. Mereka telah mengabaikan zon pertahanan, yang merupakan zon yang penting juga dalam pengurusan kewangan. Akibatnya, wang yang mengalir keluar menyebabkan meninggalkan kelemahan yang besar dalam pertahanan yang lemah ini dengan membuat serangan yang lebih hebat- iaitu dengan bekerja lebih masa atau membuat kerja sambilan.

Walaupun usaha sebegini boleh mendatangkan wang tambahan, namun ianya bukanlah jalan penyelesaian yang sebenar. Masalahnya ialah pada zon pertahanan. Kelemahan tersebut perlu diberikan perhatian terlebih dahulu. Kemudian barulah strategi serangan boleh dilakukan dengan berkesan.

Jadi, jelaslah bahawa sebelum belajar membuat lebih banyak wang, kita perlu terlebih dahulu belajar cara menguruskan wang dengan betul. Kita perlu mencari sebab mengapa kita hanya menjadi tempat wang bersinggah. Ia mengalir masuk dengan perlahan tetapi keluar dengan sekelip mata sahaja. Semuanya berakhir dengan tangan yang kosong.