Sunday, 17 March 2013

Boleh dikatakan bahawa kompleks beli-belah dapat menawarkan pelbagai godaan bagi pengunjungnya. Buktinya, dengan menjawab soalan yang dikemukakan ini. Pernahkah anda ke kompleks beli-belah (sebagai contoh Jaya Jusco), untuk membeli satu atau dua barang pada mulanya tetapi akhirnya membeli lebih dari itu? Sering kali, bukan? Tahniah bagi yang tidak termasuk dalam kelompok yang dinyatakan dalam soalan tersebut. Tapi, bagi mereka yang pernah atau sedang mengalami situasi ini. Jangan panik dan risau. Perkara ini biasa berlaku pada kebanyakan orang, termasuk saya. Situasi ini sebenarnya boleh diubah dengan mengubah strategi membeli-belah kita.

Langkah pertama ialah buatkan senarai barangan yang ingin dibeli. YA!, anda perlu menyenaraian segala benda yang diperlukan dahulu sebelum ke kompleks beli-belah. Kemudian anda mesti membeli barang-barang yang tersenarai dan mengendahkan yang lain. Biar saya ulang sekali lagi. Anda hanya perlu beli barang-barang yang disenaraikan sahaja dan mengendahkan yang lain. Walaupun pada ketika itu, anda ternampak sesuatu yang menarik atau sesuatu yang diperlukan pada masa akan datang. Anda perlu mendisiplinkan diri, cuba pejamkan mata dan berlalu pergi. Fikir dan yakinkan pada diri anda bahawa adakah barangan itu benar-benar berguna, seandainya ia berguna anda boleh menyenaraikan dan membeli ketika anda berkunjung ke situ sekali lagi.

Kita juga boleh menjimatkan wang dengan cara tidak membeli-belah dalam keadaan lapar, dahaga atau letih. Ini kerana ketiga-tiga keadaan tersebut akan melemahkan daya ketahanan diri dan membuat kita mudah terpengaruh untuk membeli lebih banyak barangan daripada apa yang diperlukan. Yang lebih buruk lagi, kita mungkin terbeli barang/benda yang tidak diperlukan. Akibatnya, kita telah berbelanja lebih daripada apa yang dirancang.

Jadi, jika biasanya anda pergi makan selepas membeli-belah, lakukan sebaliknya. Makan dahulu dan kemudian baru membeli-belah. Anda boleh berjimat dengan hanya melakukan perkara yang mudah ini. Berikut merupakan satu lagi strategi yang boleh dipraktikkan bersama seandainya, anda masih belum juga dapat berjimat. Cuba bawa kalkulator ketika membeli-belah. Setiap kali anda memegang sesuatu, masukkan harganya ke dalam kalkulator dan kira jumlah yang akan dibelanjakan. Langkah ini diharapkan dapat membantu anda mengawal wang yang akan dibelanjakan. In Sha ALLAH.
Sekiranya anda gagal untuk merancang, anda sebenarnya merancang untuk gagal..



 
Suatu perkara yang sering kita terlepas pandang atau ambil berat ialah bil telefon. Oleh kerana kita sedang membincangkan perkara-perkara yang membuatkan kita sering mengalami masalah kewangan. Maka bil telefon kita juga perlu diberi perhatian dibincangkan. Memandang ramai orang, boleh dikatakan hampir semua orang kini memiliki telefon dan menggunakan kemudahan telekomunikasi tersebut. Kebanyakan orang membayar bil telefon sebanyak RM300 hingga RM400 malah lebih, setiap bulan. Ini tidak termasuk bil telefon bimbit yang sudah tentunya lebih tinggi.
Hanya segelintir sahaja yang mengangapnya sbagai perbelanjaan yang berlebihan.

Sebenarnya ia juga salah satu contoh perbelanjaan yang berlebihan. Kenapa? Mari kita sama-sama bincangkan. Kita membayar untuk bercakap. Jika membeli sesuatu, sekurang-kurangnya kita mendapat barangnya. Tetapi tidak dengan telefon. Kita bercakap dan justeru kita perlu membayar, walaupun kita tidak memperolehi sesuatu yang boleh dipegang atau dilihat. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan mengatakan bahawa mereka menggunakan telefon untuk memupuk hubungan suami/isteri/ibubapa/sahabat handai. Kasih sayang boleh bersemi dan dipupuk menerusi hubungan telefon. Saya bersetuju bahawa kita seharusnya memelihara silaturahim sesama kita. Tetapi! Ini tidak bererti bahawa kita perlu bergayut di telefon selama DUA jam, sedangkan 10 minit sudah memadai. Kasih sayang bukan diukur berdasarkan berapa lama kita berbual di telefon. Pelbagai cara lain yang oleh dilakukan lagi. Tapi, yang anehnya. Apabila kita berjauhan, ramai orang boleh bercakap berjam-jam lamanya di telefon. Namun, apabila mereka berada disisi orang yang dikasihi, mereka jarang berbual! ( seolah-oleh mereka tiada idea untuk dibualkan). Apabila mereka bersemuka dan boleh bercakap selama mana yang mahu dengan percuma dan tanpa dikenakan apa-apa bayaran, mereka sebaliknya menonton televisyen. Aneh sungguh orang yang sebegini, mereka lebih gemar bercakap berjam-jam lamanya di telefon dan dikenakan bayaran.Ish... ish.. Fikirkan lah.



Fesyen bukan hanya terbatas kepada pakaian sahaja. Ia juga merangkumi pelbagai aksesori seperti jam tangan, beg, cermin mata dan barangan kemas. Malah kini , perniagaan aksesori tersebut sebagai contoh jam tangan, merupakan sebuah perniagaan yang dilakukan secara besar-besaran kerana ia amat menguntungkan. Seseorang itu boleh memperagakan kejayaan di lengan dengan adanya jam tangan berjenama terkenal. Oleh sebab terdapat beribu-ribu jenis reka bentunya, sudah pasti ada antaranya yang akan menarik perhatian kita. Sebagai bukti bahawa menjual aksesori menghasilkan pulangan yang menguntungkan ialah terdapatnya pelbagai jenama aksesori kini. Malah syarikat yang tidak ada kena-mengena dengan fesyen turut ikut serta menghasilkanaya. Ini termasuklah syarikat yang menjual peralatan sukan, rokok, pelancongan, pengembaraan dan juga kereta!


Selain itu, komputer (serta aksesori yang berkaitan) dan kereta kini turut mengikuti perkembangan terkini. Segala barangan ini sentiasa diperbaharui supaya pengeluarannya mengaut lebih banyak wang. Tempoh antara pengeluaran sesuatu model baru bagi kebanyakkan kereta telah semakin berkurang. Sebagai contoh, kalau dahulu tempoh untuk perubahan model tujuh tahun sekali, kini tempohnya hanya tiga tahun. Dari segi perniagaan ia amat menguntungkan. Sekiranya kita bertukar kereta setiap tiga tahun dan bukan tujuh tahun, ia bermakna syarikat pembuat kereta akan memperolehi pendapatan yang berganda. Emm.. mungkin jarang ada orang yang bertukar kereta selalu, tetapi bagaimana dengan "handphone". Semua itu akan membuatkan saku kita sentiasa kering, jika kita terikut sama dalam mengejar perubahan fesyen yang tidak ada kesudahan.
Tahukah anda bahawa kita boleh berjimat dengan membeli barangan bermutu? Ini adalah kerana barangan bermutu biasanya tahan lebih lama berbanding barang yang murah ( walaupun kadang-kalanya tidak sebegitu). Kita tidak perlu membelinya selalu dan oleh yang demikian kita akan dapat berjimat untuk jangka panjang (sikit-sikit, lama-lama jadi gunung kinabalu). Perhatikan bahawa yang ditekankan disini ialah mutu dan bukannya jenama. Walaupun terdapat banyak jenama yang terkenal dan mahal, barangan tersebut tidak semestinya bermutu tinggi. Malah sebahagian besar nama-nama terkenal ini hanya gah pada nama sahaja. Erti kata lain, kita membayar untuk namanya dan bukan mutunya. Jelaslah, membeli barang berjenama terkenal ini bukan cara untuk berjimat-cermat kerana ia tidak semestinya boleh tahan lama. Jadi, apabila dikatakan mutu disini ialah barangan yang boleh tahan lama. Misalnya pakaian sepatutnya tahan dipakai sekurang-kurangnya lima tahun. Barangan lain seperti peti sejuk sepatutnya dapat berfungsi tanpa sebarang masalah besar sekurang-kurangnya 10 tahun. Hayat sesuatu barang sudah semestinya berbeza.

Apabila kita sedang menggayakan sesuatu mengikut fesyen terkini, ia akan memperlihatkan/membuktikan yang kita merupakan seorang yang sentiasa  mengikuti perkembangan fesyen dan gaya kegemaran ramai. Dengan beranggapan bahawa dengan memakai/menggayakan fesyen yang terkini akan membuatkan kita seorang yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa boleh mendatangkan masalah kewangan yang serius dan juga mengeringkan saku kita. Langkah yang lebih bijak dan menjimatkan adalah dengan bersikap konvensional. YA! Dengan berbuat demikian anda pasti tidak akan ketinggalan zaman. Tidak kira musim atau zaman apa pun, pakaian konvensional sentiasa sesuai dengan perkembangan semasa. Dan inilah fakta dan bukan auta. Sebab mengapa pereka fesyen sentiasa menghasilkan fesyen baru setiap musim adalah kerana mereka mahu menjual pakaian mereka dan meraih lebih banyak wang!! Bayangkan jika fesyen hanya bertukar setiap lima tahun sekali, sudah tentu semua pereka fesyen akan tutup kedai.


Disini saya ingin kongsikan bersama sebuah cerita mengenai seorang pereka fesyen di Kuala Lumpur yang sudah tentu namanya terpaksa dirahsiakan. Memadailah saya katakan bahawa beliau merupakan seorang pereka fesyen ternama di negara ini. Pelangganya terdiri daripada selebriti-selebriti yang terpampang dalam majalah dan oleh yang demikian tidak hairan lah jika harga rekaannya mahal-mahal belaka. Anda hendak tahu dimana pereka fesyen yang bijak ini membeli pakaiannya sendiri? Di gedung diskaun! Sikap pereka fesyen ini seharusnya dipuji kerana pandai berjimat-cermat. Banyak wang yang mengalir masuk tetapi sedikit yang mengalir keluar. Pada masa yang sama, kita seharusnya mengambil teladan daripada beliau. Sekiranya pereka fesyen ternama seperti beliau tidak perduli mengenai fesyen, mengapa kita harus bersusah-payah berbuat demikian?

Saturday, 16 March 2013

Walaupun kad kredit banyak kegunaannya, seperti diguna pakai di stesen minyak, untuk "shopping" & makan di kedai makan (sekadar menyebut 3 sahaja), namun ia sering kali disalah guna dan menjadi punca masalah kewangan. Oleh sebab transaksi kad kredit tidak melibatkan wang tunai, ia mendorong ramai orang berbelanja lebih berbanding trasaksi wang tunai. Transaksi tanpa menggunakan wang tunai ini mungkin membuat orang (yakni pengguna kad kredit) tidak merasakan bahawa mereka sesungguhnya sedang berbelanja. Mereka tidak merasakan yang wang itu sedang terbang melayang daripada saku mereka.
Hakikat ini memang cukup membimbangkan, namun padahnya ialah apabila mereka tidak dapat membayar bil kad kredit sepenuhnya. Selagi ada bil yang tertunggak, maka selagi itulah syarikat kad kredit senang hati. Mereka boleh mengenakan faedah yang amat tinggi. Keadaan inilah yang menjadi idaman syarikat kad kredit kerana ia amat menguntungkan mereka. Sekiranya mereka mengenakan faedah sebanyak 2 peratus setiap bulan ( peratusan yang nampak sedikit ) ini bererti 24 peratus setahun ( peratusan menjadi sangat besar jumlahnya ).

Cara yang paling selamat untuk tidak berbelanja lebih dengan kad kredit adalah dengan membatalkan semua kad kredit yang ada dan berbelanja hanya secara tunai. Walaupun kadangkala tindakan ini menyusahkan, terutama jika anda sering ke luar negeri. Namun inilah satu-satunya jalan penyelesaian bagi orang yang kuat berbelanja.

Tetapi, bagi mereka yang berfikiran waras/rasional ( seperti kita, ehem-ehem), mereka masih boleh memiliki kad kredit. Mereka hanya perlu belajar menggunakannya dengan bijak dan berhemat. Ini bererti mereka:

  1. Membeli keperluan seolah-olah mereka menggunakan wang tunai.
  2. Membayar bil sepenuhnya sebelum tarikh matang.
  3. Mengelak penggunaan kemudahan pendahuluan tunai.
Sebenarnya seseorang itu hanya memerlukan SATU kad kredit sahaja, dan yang paling penting, ia jauh lebih murah. Ini adalah kerana anda berkemungkinan berbelanja lebih apabila memiliki lebih daripada satu kad kredit. Oleh sebab anda sudah pun membayar yuran keahlian tahunan dan perbelanjaan sampingan yang lain, anda berasa wajar untuk berbelanja semat-mata kerana mahu menggunakan kad tambahan itu. Jadi ini bermakna lebih banyak wang yang akan mengalir keluar dari saku anda.

Ada yang berpendapat mereka menggunakan dua kad kredit kerana beralasan ada kad kredit yang tidak diterima di sesetengah tempat ( sebagai contoh stesen minyak ). Anda tidak perlu risau tentang itu, sekiranya satu kad kredit tidak diterima, maka berkemungkinan besar kad yang satu lagi juga tidak akan diterima. Anda juga tidak perlu risau berkenaan lambang status yang kononya (sekali lagi saya ulangi "yang kononnya") ada kaitan dengan kad kredit. Mereka yang berbelanja mewah dengan menggunakan kad kredit akan menampakkan mereka berkemampuan ( atau dengan kata lain "kaya" ).
Itu hanya wujud dalam iklan. Dalam kehidupan sebenar, tiada sesiapa pun yang akan berasa kagum dengan kad kredit kita, walaupun kad itu kad emas ataupun kad platinum. Semua orang terlalu ghairah menarik perhatian orang lain sehingga tiada masa untuk memberikan perhatian kepada kita.

Bagi yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kad kredit dari sudut pandangan islam, anda boleh mendapatkannya di http://zaharuddin.net/kewangan/258-hukum-penggunaan-kad-kredit.html

 

Monday, 4 March 2013

Kebanyakan orang membeli sehingga had kemampua mereka. Jika had kewangan membolehkan mereka memiliki kereta BMW siri-5, maka itulah kereta yang mereka akan beli. Hanya sebilangan kecil yang mahu membeli BMW siri-3. Walaupun kereta itu tidak kurang hebatnya dan yang paling penting ianya jauh lebih murah.
Situasi ini bukan sahaja terhad kepada kereta tetapi juga benda-benda lain. Malah, ketika membeli rumah sekalipun, kebanyakkan orang mahu membeli rumah yang paling besar dan paling mahal yang termampu oleh mereka. Malangnya, mereka lupa atau sengaja lupa (mungkin) bahawa rumah tersebut perlu dilengkapi dengan perabot, peralatan, hiasan dan segala macam benda. Semakin besar sesebuah rumah itu, maka semakin banyak wang yang perlu dibelanjakan untuk membeli kemudahan-kemudahan tambahan tersebut. Walaupun rumah tersebut mungkin kelihatan lebih cantik, luas dan selesa. Namun, mereka tidak mampu menikmati kemudahan-kemudahan lain. Rumah yang sepatutnya membahagiakan kita, kini terasa seperti penjara. Bayangkan lah, jika situasi tersebut benar-benar berlaku pada kita. Sesetengah orang akan mempergunakan segala sumber kewangan mereka ( simpanan @ pelaburan) yang ada  habis-habisan sehingga apabila kadar faedah pinjaman melonjak naik pada akhir tahun 1990-an, mereka tidak berupaya membayar gadai janji yang turut naik melonjak!.. Nasib mereka ibarat,"sudah jatuh ditimpa tangga dan digilis komuter!!".. Sungguh dasyat dan sedih. Hidup mereka semakin tertekan dan kebahagiaan yang diimpikan selama ini terbang melayang.

Sebagai akibat kepada tabiat suka membeli secara berhabisan mengikut kemampuan, ramai orang TIDAK pernah cukup wang. Satu strategi kewangan yang baik adalah dengan membeli kurang daripada apa yang termampu. Barang dapat, duit pun jimat.. Semoga bertemu pada pos yang berikutnya.

Sunday, 3 March 2013

Kadangkala terasa bagaikan ada undang-undang yang meminta orang mengubah suai kereta agar kelihatan seperti kereta  "sport". Ini adalah kerana terlalu ramai orang terutama golongan anak muda gemar sekali mengubah suai kereta mereka agar kelihatan seperti kereta "sport" atau "racing". Walaupun mereka bukan kaki pecut, tetapi kereta mereka perlu juga kelihatan seperti kereta sport. Jika ditanya, adakah mereka berminat dengan sukan lumba kereta?.Kebanyakkan (walaupun tidak semua) dari mereka akan memberitahu, yang mereka langsung tidak berminat dalam sukan lumba kereta. Pelik-pelik..

Jadi tidak hairanlah selain mengubah suai rumah, kegemaran kedua rakyat Malaysia adalah untuk membeli aksesori kereta. Ini termasuklah memasang cas turbo, rim sport, tayar dan spoiler yang tidak dapat dinafikan, ada sesetengah spoiler tersebut ada yang terlalu menjolok mata. Keadaan ini amatlah menyedihkan, kerana sudah tentu kesemua ini menelan belanja yang banyak. Yang lebih malang lagi, biar saya katakan bahawa alat-alat aksesori yang mahal tersebut hanya berjaya memukau/ memikat seorang sahaja-iaitu empunya kereta semata-mata. Gadis ( terutama yang bijak) tidak perduli dengan semua itu, begitu juga dengan pemandu-pemandu lain, apatah lagi dengan polis trafik, serta pihak yang mahu membeli kereta itu nanti. Malah ini akan membuatkan kereta itu sukar dijual.

Oleh itu, belilah atau biarkan lah kereta itu dalam keadaan yang seadanya dan jimat wang anda.Jika kereta itu jenis salun, biarlah ia kekal menjadi salun.Sudah semestinya jurutera yang mencipta kereta tersebut lebih mahir serta pakar dari anda. Pandulah mengikut kemampuannya dan janganlah mengharap ia dapat meredah gunung atau terbang di langit. Jika anda membeli sebuah Kancil, nikmatiah kereta ini yang jimat minyak dan mudah dipandu. Tidak ada alat atau aksesori yang boleh membantunya untuk memecut dengan laju. Kereta kancil yang telah di "modified" sesekali tidak akan dapat mengalahkan kereta lamborghini yang tidak di "modified". Hehe..



 Semoga bertemu di post yang berikutnya...