Sunday 17 March 2013

Boleh dikatakan bahawa kompleks beli-belah dapat menawarkan pelbagai godaan bagi pengunjungnya. Buktinya, dengan menjawab soalan yang dikemukakan ini. Pernahkah anda ke kompleks beli-belah (sebagai contoh Jaya Jusco), untuk membeli satu atau dua barang pada mulanya tetapi akhirnya membeli lebih dari itu? Sering kali, bukan? Tahniah bagi yang tidak termasuk dalam kelompok yang dinyatakan dalam soalan tersebut. Tapi, bagi mereka yang pernah atau sedang mengalami situasi ini. Jangan panik dan risau. Perkara ini biasa berlaku pada kebanyakan orang, termasuk saya. Situasi ini sebenarnya boleh diubah dengan mengubah strategi membeli-belah kita.

Langkah pertama ialah buatkan senarai barangan yang ingin dibeli. YA!, anda perlu menyenaraian segala benda yang diperlukan dahulu sebelum ke kompleks beli-belah. Kemudian anda mesti membeli barang-barang yang tersenarai dan mengendahkan yang lain. Biar saya ulang sekali lagi. Anda hanya perlu beli barang-barang yang disenaraikan sahaja dan mengendahkan yang lain. Walaupun pada ketika itu, anda ternampak sesuatu yang menarik atau sesuatu yang diperlukan pada masa akan datang. Anda perlu mendisiplinkan diri, cuba pejamkan mata dan berlalu pergi. Fikir dan yakinkan pada diri anda bahawa adakah barangan itu benar-benar berguna, seandainya ia berguna anda boleh menyenaraikan dan membeli ketika anda berkunjung ke situ sekali lagi.

Kita juga boleh menjimatkan wang dengan cara tidak membeli-belah dalam keadaan lapar, dahaga atau letih. Ini kerana ketiga-tiga keadaan tersebut akan melemahkan daya ketahanan diri dan membuat kita mudah terpengaruh untuk membeli lebih banyak barangan daripada apa yang diperlukan. Yang lebih buruk lagi, kita mungkin terbeli barang/benda yang tidak diperlukan. Akibatnya, kita telah berbelanja lebih daripada apa yang dirancang.

Jadi, jika biasanya anda pergi makan selepas membeli-belah, lakukan sebaliknya. Makan dahulu dan kemudian baru membeli-belah. Anda boleh berjimat dengan hanya melakukan perkara yang mudah ini. Berikut merupakan satu lagi strategi yang boleh dipraktikkan bersama seandainya, anda masih belum juga dapat berjimat. Cuba bawa kalkulator ketika membeli-belah. Setiap kali anda memegang sesuatu, masukkan harganya ke dalam kalkulator dan kira jumlah yang akan dibelanjakan. Langkah ini diharapkan dapat membantu anda mengawal wang yang akan dibelanjakan. In Sha ALLAH.
Sekiranya anda gagal untuk merancang, anda sebenarnya merancang untuk gagal..



 

0 ulasan:

Post a Comment