Wednesday, 12 February 2014

Pentingkah pengurusan kewangan?

Pengurusan kewangan bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup kita. Malah ia bukan perkara kedua atau ketiga penting dalam hidup kita. Saya setuju dengan kenyataan tersebut. Namun, untuk membolehkan kita menikmati kebanyakkan benda dalam hidup ini, kewangan kita perlulah terurus. Jika di lihat pada situasi zaman sekarang, kadar inflasi yang semakin meningkat menyebabkan kos sara hidup meningkat dan ditambah lagi pendapatan yang kecil untuk menampung kos kehidupan yang besar. Emm.... sudah tentu keadaan tersebut akan membuatkan kita terbeban jika pengurusan kewangan kita tidak dirancang dan diruruskan dengan sebaik mungkin.

"Perancangan kewangan bukan suatu pilihan dalam kehidupan seseorang." Begitulah yang dinyatakan oleh Polly Ghazi dan Judy Jones dalam buku mereka yang berjudul Downshifting- the guide to happier, simpler living. Dalam negara ini, mahu atau tidak, kita terpaksa berlumba untuk terus maju. Justeru, perancangan kewangan kita perlu dilakukan dengan betul dan sewajarnya mengikut panduan yang benar. Dengan erti kata lain, perancangan atau pengurusan kewangan bukanlah sesuatu yang dibuat hanya apabila seseorang itu akan bersara. Sewajarnya ia dilaksanakan dari awal lagi, atau lebih tepat lagi.. sekarang! fast action, fast result..

Jika kita gagal berbuat demikian, maka masa depan kita akan gelap dan berkemungkinan besar kita tidak akan dapat menikmati kebahagian dan kesejahteraan seperti yang di idamkan. Oleh itu, wang kini menjadi satu enigma. Kita lebih gemar memberikan perhatian kepada perkara-perkara penting dalam kehidupan ini seperti pencapaian dan kesihatan, tetapi pada masa yang sama, kita juga mengharapkan wang sentiasa datang melimpah dan terurus dengan sendirinya. Malangnya, di Malaysia... tidak ramai yang suka berbicara perihal kewangan malah ia dianggap suatu pantang larang. Banyak keluarga enggan berbincang mengenai kewangan, apatah lagi untuk membincangkan cara menambah atau melindungi wang tersebut. Ramai yang lebih senang berbincang mengenai seks berbanding wang. Mungkin mereka merasakan perkara berkaitan wang sebagai perkara peribadi menyebabkan mereka kurang senang untuk berbicara tentangnya. Hanya segelintir sahaja yang sanggup berbuat demikian,dan itu pun untuk menghebahkan kejayaan mereka di pasaran saham atau untuk mempekenalkan "skim cepat kaya" mereka. Sebaliknya, ramai yang memilih untuk diam membisu atas alasan kalau tidak buka mulut maka orang tidak tahu akan kejahilan mereka terhadap pengurusan kewangan.

Mereka berharap kejahilan mereka itu tidak akan diketahui oleh orang ramai, tanpa menyedari bahawa dengan mengambil sikap sedemikian mereka juga tidak berpeluang untuk mempelajari sesuatu yang baru. Jalan penyelesaiannya mudah, Kita perlu menguruskan kewangan kita untuk memastikan kita tidak tergolong dalam golongan yang gagal. Oleh itu, ilmu pengurusan kewangan adalah penting untuk mengatur wang kita dengan baik. Cukupkah wang untuk membiayai pengajian anak-anak kita kelak?  Adakah wang kita cukup untuk menampung kehidupan 20 tahun selepas bersara kelak? Sudahkah kita menyimpan wang untuk masa kecemasan? Jika hidup bergantung pada kasih sayang dan rukun damai sahaja tidak memadai. Wang juga yang diambil kira akhirnya! Anda setuju?


Tuesday, 11 February 2014

Saya ingin menarik perhatian pembaca sekalian untuk sama-sama berfikir tentang masa depan kita. Ya, masa depan iaitu masa ketika kita telah bersara kelak. Adakah wang simpanan kita cukup untuk menampung pembelanjaan kita di kala kita sudah tidak berkerja dan menjana pendapatan lagi. Itu pun kalau ada duit simpanan. Kita bercerita tentang mereka yang makan gaji dan menyimpan di kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) sebagai simpanan masa depan. Persoalannya, cukupkah duit itu untuk menampung perbelanjaan di hari persaraan kita nanti?.......
Pada penghujung tahun 2007, terdapat lebih daripada 5.4 juta orang penyumbang aktif KWSP dengan wang simpanan yang berjumlah RM 228 bilion. Ini merupakan suatu jumlah yang cukup besar. Tetapi sekiranya kita meneliti jumlah penyumbang dan jumlah simpanan, kita akan mendapat satu gambaran yang berbeza.

Bersedialah untuk berdepan dengan kenyataan yang mencemaska. Walaupun terdapat RM 228 bilion dalam KWSP, keadaan sebenar untuk setiap individu agak berbeza. Anda boleh lihat statistik seperti yang di tunjukkan seperti di dalam Jadual 1.


Seperti yang anda boleh lihat, kira-kira 4,735 daripada penyumbang mempunyai lebih daripada RM 1 juta dalam akaun mereka. Manakala 11,457 penyumbang mempunyai lebih daripada RM 600,000 dan seramai 524,012 penyumbang lagi mempunyai lebih daripada RM 100,000 dalam akaun mereka. Kita juga perlu mengambil kira 4 juta penyumbang yang tidak aktif. Ini menjadikan jumlah penyumbang KWSP sebenar 9.5 juta orang. Jadi kesemuanya berjumlah 540,204 atau 10 peratus daripada 9.5 juta lebih penyumbang aktif KWSP. Menakutkan, bukan? Hanya 540,204 daripada 9.5 juta! Kurang daripada enam peratus penyumbang mempunyai wang yang cukup seandainya kita anggap RM 100,000 sebagai jumlah minimum untuk menyara hidup selepas bersara.

Tetapi ini juga bererti sebahagian besar penyumbang iaitu 8.9 juta yang selebihnya  atau 94 pertatus mempunyai kurang daripada RM 100,000 dalam akaun mereka. Malah 85 peratus mempunyai kurang daripada RM 50,000 untuk di gunakan apabila mereka bersara kelak.  Wang sejumlah itu, sudah tentu tidak cukup untuk menyara sepasang suami isteri selama 20 tahun dalam persaraan. Andai kata mereka berbelanja RM 1,000 sebulan, wang itu akan habis dibelanjakan pada masa hanya empat tahun! Bagaimanakah nasib mereka dalam 16 tahun yang seterusnya? Sekiranya mereka hanya berbelanja sejumlah RM 500 sebulan        (yang agak sukar dilakukan pada masa akan datang ) wang itu hanya dapat bertahan selama lapan tahun. Andaian ini dibuat tanpa mengambil kira apa-apa kesulitan atau masalah yang mungkin timbul. Sekiranya mereka ditimpa kesulitan atau dilanda sesuatu masalah kewangan, maka wang itu sudah tentu lebih cepat habis.

Kita perlu ingat bahawa wang dalam KWSP itu ialah simpanan wajib. Sekiranya simpanan wajib sebegitu sedikit, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa simpanan yang dibuat atas kemahuan sendiri sudah tentu kurang daripada yang wajib. Hanya segelintir sahaja yang mempunyai lebih banyak wang dalam tangan berbanding wang simpanan dalam KWSP. Malah, sesetengahnya langsung tidak ada apa-apa simpanan persendirian. Wang dalam KWSP itulah satu-satunya yang ada untuk persaraan mereka kelak. Maka disini kita boleh membuat kesimpulan bahawa hanya segelintir antara kita mempunyai wang yang mencukupi apabila bersara kelak. Oleh yang demikian, tidak salah jika dikatakan sebahagian besar penduduk negara ini tidak menguruskan kewangan mereka dengan betul. Kesudahannya, kita yang akan menanggung padah yang mana, hidup melarat semasa usia sudah lanjut.


Keratan Akbar 

Sementara kita masih muda, sihat dan mampu lagi untuk bekerja, mampu menjana pendapatan yang banyak sehingga beribu-ribu ringgit setiap bulan. Simpanlah sekurang-kurangnya 10% dari pendapatan tersebut sebagai simpanan tambahan untuk masa depan anda. 

Thursday, 21 March 2013

"Walaupun kita miskin, hidup kita memang sengsara". Pada post-post yang lepas, kita telah mengetahui serba sedikit perkara-perkara yang boleh membuatkan kita sering mengalami masalah kewangan. Dalam topik seterusnya, saya ingin mengajak anda sama-sama melihat wang secara menyeluruh. Lupakan sementara akan usaha mencari wang, bertenang dan usah terburu-buru, tarik nafas dalam-dalam agar kita dapat melihat dan faham akan peranan sebenar wang dalam kehidupan kita. Mari kita menjenguk sebentar kepada situasi yang berlaku di luar negara kita. Bedasarkan statistik semasa di Australia, hanya 8 peratus daripada 100 orang kanak-kanak akan berdikari daripada segi kewangan menjelang umur 65 tahun! 38 peratus akan meninggal dunia, 38 peratus hidup miskin dan 16 peratus lagi terpaksa terus berkerja untuk menyara hidup. Tujuh daripadanya berupaya bersara dengan pendapatan yang mencukupi dan hanya SATU!, YA!.. hanya satu yang menjadi kaya. Ini bermakna 92 peratus telah gagal untuk menguruskan kewangan mereka dengan betul. Ringkasnya, berhubung dengan soal wang, kebanyakkan orang tidak menguruskannya dengan betul.

Mungkin ada yang berkata yang statistik ini dari Australia, bukan negara yang mempunyai ramai orang kaya ataupun jutawan. Baik. Mari kita tinjau pula negara yang paling kaya di dunia. Hah negara apa lagi yang mendapat gelaran polis dunia, Amerika Syarikat lah. Juara pejuang masyarakat kapitalis. Apabila kita memperkatakan wang, itulah tempatnya. Negara itu menjanjikan kemewahan kepada semua yang rajin berusaha dan berkaliber. Memang jutawan ada di setiap ceruk penjuru negara itu. Dari segi teori, berasaskan pengetahuan dan kebijaksanaan, seharusnya semua rakyat Amerika boleh berdikari daripada segi kewangan mereka.

Dan dari segi teori juga, memang benar jumlah jutawan di Amerika lebih tinggi berbanding tempat-tempat lain di muka bumi ini iaitu seramai 9 juta orang pada tahun 2008. Memang benar ramai lagi yang akan menjadi jutawan pada masa akan datang. Tetapi pada masa yang sama juga, peratusan simpanan peribadi ( sebagai peratus pendapatan boleh guna ) telah jatuh daripada paras 9 peratus pada tahun 1973 kepada kurang daripada 1 peratus sepanjang dekad ini. Malah, hanya lima peratus pesara di Amerika boleh berdikari daripada segi kewangan! Sama seperti rakyat di Australia, hanya lima peratus rakyat Amerika dapat menikmati kegemilangan hari-hari tua mereka, sementara 95 peratus yang selebihnya mempunyai masa depan yang gelap. Ini bukanlah apa yang diidam-idamkan oleh mana-mana insan di dunia ini. Apatah lagi untuk mengaitkannya dengan rakyat negara terkaya di dunia. Hakikatnya, di negara yang kaya-raya sekali pun, masih terlalu ramai orang tidak menguruskan kewangan mereka dengan betul.

Wednesday, 20 March 2013

Socrates, ahli falsafah Yunani yang terkenal, suka pergi ke pasar di Athens. Beliau suka merayau-rayau dari gerai ke gerai dan singah sejenak untuk melihat barang jualan yang dipamerkan. Walaupun kerap ke sana, beliau tidak pernah membeli apa-apa. Seorang rakan bertanya sebabnya. Jawapan klasik yang diberikan. "Saya sentiasa kagum melihat begitu banyak barang yang tidak saya perlukan". Anda perlu ingat bahawa kejadian itu berlaku pada tahun 400M!. Sekiranya pada zaman itu sudah terdapat banyak benda yang tidak diperlukan oleh manusia maka bayangkan berapa banyak benda yang ada sekarang yang tidak diperlukan oleh kita semua. Saya juga mendapati bahawa saya tidak memerlukan lebih daripada 90 peratus barangan yang dijual pada masa ini. Benda-benda tersebut langsung tidak boleh mengubah hidup saya atau keluarga saya. Jadi jika saya membelanjakan wang yang dicari dengan titik peluh saya untuk membeli barang-barang tersebut, saya sebenarnya telah berlaku zalim kepada diri sendiri, keluarga,dan juga sesama insan. Apabila membelinya, saya menggalakkan pengeluar menghasilkan lebih banyak benda yang tidak berguna.


Demikianlah serba sedikit perkara-perkara yang menyebabkan wang kita sentiasa kering sebelum waktunya. Semoga bertemu di post yang berikutnya.

Tuesday, 19 March 2013

Pesanan mel televisyen ialah industri berbilion dolar di Amerika Syarikat. Jadi tidak hairanlah ramai orang yang mencuba mencetak wang menerusi cara yang sama di negara ini. Memandangkan keadaan yang ada sekarang ini, nampaknya sedikit demi sedikit mereka berjaya berbuat demikian Jadi elok rasanya kita beringat-ingat sebelum kita terjebak sama. Anda mungkin telah menonton produk yang diklankan di televisyen setiap petang. Peralatan hebat yang diperagakan oleh model yang tegap sasa bagaikan dewa dan dewi Yunani. Kurangkan berat badan, kurangkan ukuran badan dan sebagai tambahan, kurangkan juga wang anda!

Satu daripada helah yang digunakan dalam iklan seperti ini berbunyi, "Produk ini tidak ada dijual di kedai malah hanya boleh dibeli menerusi pesanan mel televisyen". Hebat, bukan? Mereka berjaya menjadikan satu kelemahan sebagai satu daya tarikan. Pernahkah anda terfikir mengapa mereka berbuat demikian?. Ok, cuba sama-sama kita fikirkan. Sekiranya produk itu betul-betul hebat, mengapa pengeluarnya tidak mengedarkan sahaja produk-produk mereka yang hebat itu di kedai-kedai agar lebih tinggi potensi produk berkenaan terjual?. Antara sebabnya adalah kerana produk itu baru diperkenalkan. Pengeluarnya, tidak begitu yakin dengan produk yang kononnya hebat itu. Mereka mahu melihat sambutan daripada orang ramai terhadap keluarannya. Maka, cara yang digunakan ialah, membuat pengeluaran yang terhad melalui pesanan mel. Sekiranya poduk ini laku, sudah tentu produk itu akan diedarkan di kedai-kedai. Sebaliknya, jika hanya tiga orang sahaja yang  membeli produk tersebut. Maka tamatlah riwayat produk itu. Dengan erti kata lain, mereka yang membeli menerusi pesanan mel televisyen merupakan mangsa percubaan semata-mata. Mereka kini memiliki produk yang tidak digunakan dan tidak lagi dikeluarkan. Jadi apa hebatnya?

Kemudahan perbankan internet telah bermula sejak lebih 10 tahun yang lalu. Terdapat pelbagai perbankan internet seperti Maybank2u.net, CIMB clicks dan lain-lain lagi. Saya juga telah menggunakan kemudahan ini untuk membayar bil, membeli topup kredit dan memindahkan duit ke akaun lain. Semuanya saya lakukannya hanya melalui internet tanpa perlu keluar rumah. Saya juga menggalakkan anda untuk menggunakannya. Ia memang mudah serta dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos. Kini saya membayar hampir semua bil saya menerusi perbankan internet. Ini bererti:

  1. Saya telah dapat menjimatkan masa, kerana saya tidak perlu memandu ke pejabat pos/bank/kedai topup dan sebagainya semata-mata hanya untuk membayar satu atau dua bil atau sekadar hendak membeli topup RM10...
  2. Saya dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu mambazirkan petrol, membayar tol, dan membayar tempat letak kereta.
  3. Saya dapat mengendalikan wang saya dengan berkesan kerana dapat membayar bil pada tarikh ia perlu dibayar
  4. Saya boleh memindahkan wang daripada akaun saya ke akaun lain hanya dalam beberapa minit.
  5. Saya mampu membeli topup, walaupun pada tengah malam kala kedai topup telah tutup.
Yang paling menyeronokan, saya tidak perlu beratur. Seperti orang lain juga, saya memang cukup malas untuk beratur, samalah malasnya untuk bertemu doktor gigi. Kenapa kita perlu lakukan perkara yang sukar, sedang kemudahan telah tersedia di depan mata. Jadi tunggu apa lagi, gunakan lah.

Monday, 18 March 2013

Pengaruh dari iklan di TV, majalah, radio atau rakan-rakan sekeliling merupakan faktor penyebab ramai orang berbelanja besar untuk membeli kelengkapan dandanan diri dan alat solek setiap bulan. Ini termasuk syampu, perapi, deodoran, losen selepas bercukur, minyak wangi ( pastinya jenama terkenal), pelembab, sekurang-kurangnya lima jenis krim, sabun, maskara, celak, pengilat kuku, krim rambut, gel dan sebagainya. Senarai ini sahaja, sudah tiga baris. Erti kata lain, terdapat pelbagai barangan mahu dibeli dan sudah tentu banyak wang yang perlu dibelanjakan. Tujuan pengiklanan memang bertujuan untuk melariskan produk-produk keluaran syarikat tertentu. Dan memang perlu bagi kita untuk menjaga penampilan diri. Siapa yang sudi rapat dengan orang yang berbau hamis seperti kambing gurun! Tetapi ini tidak bererti kita perlu membeli wangian yang mahal, bagi membolehkan kita menjadi orang yang bersih. Mengunakan syampu atau perapi yang berjenama terkenal tidak akan dapat membantu kita menjadi orang yang lebih menawan.

Ada baiknya anda merujuk kepada buku yang ditulis oleh Dr Wayne Dyer berjudul Your Erroneous Zones yang memperkatakan penjagaan tubuh badan dan kesihatan diri. "Iklan yang disogok kepada kita saban hari mempengaruhi kita supaya membenci bau mulut, ketiak, kaki, kulit dan malah alat kelamin kita. Maka dengan menggunakan produk yang mereka tawarkan, segala permasalahan akan hilang. Sebagai contoh " Gunakanlah produk kami dan alamilah perubahan yang sebenar dan semulajadi".Seolah-olah anugerah Tuhan ini bukan bersifat semula jadi, sehingga kita terpaksa membeli kosmetik wangian untuk membolehkan kita berasa lebih selesa.

Saya cukup setuju dengan pendapat ini. Sebagai insan, kita dianugerahkan bau-bauan yang semula jadi. Ini bukan bermakna kita tidak perlu mandi. Tetapi mengapa kita harus menyembunyikan aura kita yang sebenarnya? Mengapa kita harus membiarkan industri iklan menentukan apa yang terbaik untuk diri kita? Mereka hanya akan mengesyorkan kita untuk berbelanja lebih bagi menyembunyikan diri kita yang sebenarnya.