Monday 18 March 2013

Pengaruh dari iklan di TV, majalah, radio atau rakan-rakan sekeliling merupakan faktor penyebab ramai orang berbelanja besar untuk membeli kelengkapan dandanan diri dan alat solek setiap bulan. Ini termasuk syampu, perapi, deodoran, losen selepas bercukur, minyak wangi ( pastinya jenama terkenal), pelembab, sekurang-kurangnya lima jenis krim, sabun, maskara, celak, pengilat kuku, krim rambut, gel dan sebagainya. Senarai ini sahaja, sudah tiga baris. Erti kata lain, terdapat pelbagai barangan mahu dibeli dan sudah tentu banyak wang yang perlu dibelanjakan. Tujuan pengiklanan memang bertujuan untuk melariskan produk-produk keluaran syarikat tertentu. Dan memang perlu bagi kita untuk menjaga penampilan diri. Siapa yang sudi rapat dengan orang yang berbau hamis seperti kambing gurun! Tetapi ini tidak bererti kita perlu membeli wangian yang mahal, bagi membolehkan kita menjadi orang yang bersih. Mengunakan syampu atau perapi yang berjenama terkenal tidak akan dapat membantu kita menjadi orang yang lebih menawan.

Ada baiknya anda merujuk kepada buku yang ditulis oleh Dr Wayne Dyer berjudul Your Erroneous Zones yang memperkatakan penjagaan tubuh badan dan kesihatan diri. "Iklan yang disogok kepada kita saban hari mempengaruhi kita supaya membenci bau mulut, ketiak, kaki, kulit dan malah alat kelamin kita. Maka dengan menggunakan produk yang mereka tawarkan, segala permasalahan akan hilang. Sebagai contoh " Gunakanlah produk kami dan alamilah perubahan yang sebenar dan semulajadi".Seolah-olah anugerah Tuhan ini bukan bersifat semula jadi, sehingga kita terpaksa membeli kosmetik wangian untuk membolehkan kita berasa lebih selesa.

Saya cukup setuju dengan pendapat ini. Sebagai insan, kita dianugerahkan bau-bauan yang semula jadi. Ini bukan bermakna kita tidak perlu mandi. Tetapi mengapa kita harus menyembunyikan aura kita yang sebenarnya? Mengapa kita harus membiarkan industri iklan menentukan apa yang terbaik untuk diri kita? Mereka hanya akan mengesyorkan kita untuk berbelanja lebih bagi menyembunyikan diri kita yang sebenarnya.

0 ulasan:

Post a Comment