Thursday, 21 March 2013

"Walaupun kita miskin, hidup kita memang sengsara". Pada post-post yang lepas, kita telah mengetahui serba sedikit perkara-perkara yang boleh membuatkan kita sering mengalami masalah kewangan. Dalam topik seterusnya, saya ingin mengajak anda sama-sama melihat wang secara menyeluruh. Lupakan sementara akan usaha mencari wang, bertenang dan usah terburu-buru, tarik nafas dalam-dalam agar kita dapat melihat dan faham akan peranan sebenar wang dalam kehidupan kita. Mari kita menjenguk sebentar kepada situasi yang berlaku di luar negara kita. Bedasarkan statistik semasa di Australia, hanya 8 peratus daripada 100 orang kanak-kanak akan berdikari daripada segi kewangan menjelang umur 65 tahun! 38 peratus akan meninggal dunia, 38 peratus hidup miskin dan 16 peratus lagi terpaksa terus berkerja untuk menyara hidup. Tujuh daripadanya berupaya bersara dengan pendapatan yang mencukupi dan hanya SATU!, YA!.. hanya satu yang menjadi kaya. Ini bermakna 92 peratus telah gagal untuk menguruskan kewangan mereka dengan betul. Ringkasnya, berhubung dengan soal wang, kebanyakkan orang tidak menguruskannya dengan betul.

Mungkin ada yang berkata yang statistik ini dari Australia, bukan negara yang mempunyai ramai orang kaya ataupun jutawan. Baik. Mari kita tinjau pula negara yang paling kaya di dunia. Hah negara apa lagi yang mendapat gelaran polis dunia, Amerika Syarikat lah. Juara pejuang masyarakat kapitalis. Apabila kita memperkatakan wang, itulah tempatnya. Negara itu menjanjikan kemewahan kepada semua yang rajin berusaha dan berkaliber. Memang jutawan ada di setiap ceruk penjuru negara itu. Dari segi teori, berasaskan pengetahuan dan kebijaksanaan, seharusnya semua rakyat Amerika boleh berdikari daripada segi kewangan mereka.

Dan dari segi teori juga, memang benar jumlah jutawan di Amerika lebih tinggi berbanding tempat-tempat lain di muka bumi ini iaitu seramai 9 juta orang pada tahun 2008. Memang benar ramai lagi yang akan menjadi jutawan pada masa akan datang. Tetapi pada masa yang sama juga, peratusan simpanan peribadi ( sebagai peratus pendapatan boleh guna ) telah jatuh daripada paras 9 peratus pada tahun 1973 kepada kurang daripada 1 peratus sepanjang dekad ini. Malah, hanya lima peratus pesara di Amerika boleh berdikari daripada segi kewangan! Sama seperti rakyat di Australia, hanya lima peratus rakyat Amerika dapat menikmati kegemilangan hari-hari tua mereka, sementara 95 peratus yang selebihnya mempunyai masa depan yang gelap. Ini bukanlah apa yang diidam-idamkan oleh mana-mana insan di dunia ini. Apatah lagi untuk mengaitkannya dengan rakyat negara terkaya di dunia. Hakikatnya, di negara yang kaya-raya sekali pun, masih terlalu ramai orang tidak menguruskan kewangan mereka dengan betul.

Wednesday, 20 March 2013

Socrates, ahli falsafah Yunani yang terkenal, suka pergi ke pasar di Athens. Beliau suka merayau-rayau dari gerai ke gerai dan singah sejenak untuk melihat barang jualan yang dipamerkan. Walaupun kerap ke sana, beliau tidak pernah membeli apa-apa. Seorang rakan bertanya sebabnya. Jawapan klasik yang diberikan. "Saya sentiasa kagum melihat begitu banyak barang yang tidak saya perlukan". Anda perlu ingat bahawa kejadian itu berlaku pada tahun 400M!. Sekiranya pada zaman itu sudah terdapat banyak benda yang tidak diperlukan oleh manusia maka bayangkan berapa banyak benda yang ada sekarang yang tidak diperlukan oleh kita semua. Saya juga mendapati bahawa saya tidak memerlukan lebih daripada 90 peratus barangan yang dijual pada masa ini. Benda-benda tersebut langsung tidak boleh mengubah hidup saya atau keluarga saya. Jadi jika saya membelanjakan wang yang dicari dengan titik peluh saya untuk membeli barang-barang tersebut, saya sebenarnya telah berlaku zalim kepada diri sendiri, keluarga,dan juga sesama insan. Apabila membelinya, saya menggalakkan pengeluar menghasilkan lebih banyak benda yang tidak berguna.


Demikianlah serba sedikit perkara-perkara yang menyebabkan wang kita sentiasa kering sebelum waktunya. Semoga bertemu di post yang berikutnya.

Tuesday, 19 March 2013

Pesanan mel televisyen ialah industri berbilion dolar di Amerika Syarikat. Jadi tidak hairanlah ramai orang yang mencuba mencetak wang menerusi cara yang sama di negara ini. Memandangkan keadaan yang ada sekarang ini, nampaknya sedikit demi sedikit mereka berjaya berbuat demikian Jadi elok rasanya kita beringat-ingat sebelum kita terjebak sama. Anda mungkin telah menonton produk yang diklankan di televisyen setiap petang. Peralatan hebat yang diperagakan oleh model yang tegap sasa bagaikan dewa dan dewi Yunani. Kurangkan berat badan, kurangkan ukuran badan dan sebagai tambahan, kurangkan juga wang anda!

Satu daripada helah yang digunakan dalam iklan seperti ini berbunyi, "Produk ini tidak ada dijual di kedai malah hanya boleh dibeli menerusi pesanan mel televisyen". Hebat, bukan? Mereka berjaya menjadikan satu kelemahan sebagai satu daya tarikan. Pernahkah anda terfikir mengapa mereka berbuat demikian?. Ok, cuba sama-sama kita fikirkan. Sekiranya produk itu betul-betul hebat, mengapa pengeluarnya tidak mengedarkan sahaja produk-produk mereka yang hebat itu di kedai-kedai agar lebih tinggi potensi produk berkenaan terjual?. Antara sebabnya adalah kerana produk itu baru diperkenalkan. Pengeluarnya, tidak begitu yakin dengan produk yang kononnya hebat itu. Mereka mahu melihat sambutan daripada orang ramai terhadap keluarannya. Maka, cara yang digunakan ialah, membuat pengeluaran yang terhad melalui pesanan mel. Sekiranya poduk ini laku, sudah tentu produk itu akan diedarkan di kedai-kedai. Sebaliknya, jika hanya tiga orang sahaja yang  membeli produk tersebut. Maka tamatlah riwayat produk itu. Dengan erti kata lain, mereka yang membeli menerusi pesanan mel televisyen merupakan mangsa percubaan semata-mata. Mereka kini memiliki produk yang tidak digunakan dan tidak lagi dikeluarkan. Jadi apa hebatnya?

Kemudahan perbankan internet telah bermula sejak lebih 10 tahun yang lalu. Terdapat pelbagai perbankan internet seperti Maybank2u.net, CIMB clicks dan lain-lain lagi. Saya juga telah menggunakan kemudahan ini untuk membayar bil, membeli topup kredit dan memindahkan duit ke akaun lain. Semuanya saya lakukannya hanya melalui internet tanpa perlu keluar rumah. Saya juga menggalakkan anda untuk menggunakannya. Ia memang mudah serta dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos. Kini saya membayar hampir semua bil saya menerusi perbankan internet. Ini bererti:

  1. Saya telah dapat menjimatkan masa, kerana saya tidak perlu memandu ke pejabat pos/bank/kedai topup dan sebagainya semata-mata hanya untuk membayar satu atau dua bil atau sekadar hendak membeli topup RM10...
  2. Saya dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu mambazirkan petrol, membayar tol, dan membayar tempat letak kereta.
  3. Saya dapat mengendalikan wang saya dengan berkesan kerana dapat membayar bil pada tarikh ia perlu dibayar
  4. Saya boleh memindahkan wang daripada akaun saya ke akaun lain hanya dalam beberapa minit.
  5. Saya mampu membeli topup, walaupun pada tengah malam kala kedai topup telah tutup.
Yang paling menyeronokan, saya tidak perlu beratur. Seperti orang lain juga, saya memang cukup malas untuk beratur, samalah malasnya untuk bertemu doktor gigi. Kenapa kita perlu lakukan perkara yang sukar, sedang kemudahan telah tersedia di depan mata. Jadi tunggu apa lagi, gunakan lah.

Monday, 18 March 2013

Pengaruh dari iklan di TV, majalah, radio atau rakan-rakan sekeliling merupakan faktor penyebab ramai orang berbelanja besar untuk membeli kelengkapan dandanan diri dan alat solek setiap bulan. Ini termasuk syampu, perapi, deodoran, losen selepas bercukur, minyak wangi ( pastinya jenama terkenal), pelembab, sekurang-kurangnya lima jenis krim, sabun, maskara, celak, pengilat kuku, krim rambut, gel dan sebagainya. Senarai ini sahaja, sudah tiga baris. Erti kata lain, terdapat pelbagai barangan mahu dibeli dan sudah tentu banyak wang yang perlu dibelanjakan. Tujuan pengiklanan memang bertujuan untuk melariskan produk-produk keluaran syarikat tertentu. Dan memang perlu bagi kita untuk menjaga penampilan diri. Siapa yang sudi rapat dengan orang yang berbau hamis seperti kambing gurun! Tetapi ini tidak bererti kita perlu membeli wangian yang mahal, bagi membolehkan kita menjadi orang yang bersih. Mengunakan syampu atau perapi yang berjenama terkenal tidak akan dapat membantu kita menjadi orang yang lebih menawan.

Ada baiknya anda merujuk kepada buku yang ditulis oleh Dr Wayne Dyer berjudul Your Erroneous Zones yang memperkatakan penjagaan tubuh badan dan kesihatan diri. "Iklan yang disogok kepada kita saban hari mempengaruhi kita supaya membenci bau mulut, ketiak, kaki, kulit dan malah alat kelamin kita. Maka dengan menggunakan produk yang mereka tawarkan, segala permasalahan akan hilang. Sebagai contoh " Gunakanlah produk kami dan alamilah perubahan yang sebenar dan semulajadi".Seolah-olah anugerah Tuhan ini bukan bersifat semula jadi, sehingga kita terpaksa membeli kosmetik wangian untuk membolehkan kita berasa lebih selesa.

Saya cukup setuju dengan pendapat ini. Sebagai insan, kita dianugerahkan bau-bauan yang semula jadi. Ini bukan bermakna kita tidak perlu mandi. Tetapi mengapa kita harus menyembunyikan aura kita yang sebenarnya? Mengapa kita harus membiarkan industri iklan menentukan apa yang terbaik untuk diri kita? Mereka hanya akan mengesyorkan kita untuk berbelanja lebih bagi menyembunyikan diri kita yang sebenarnya.

Sunday, 17 March 2013

Boleh dikatakan bahawa kompleks beli-belah dapat menawarkan pelbagai godaan bagi pengunjungnya. Buktinya, dengan menjawab soalan yang dikemukakan ini. Pernahkah anda ke kompleks beli-belah (sebagai contoh Jaya Jusco), untuk membeli satu atau dua barang pada mulanya tetapi akhirnya membeli lebih dari itu? Sering kali, bukan? Tahniah bagi yang tidak termasuk dalam kelompok yang dinyatakan dalam soalan tersebut. Tapi, bagi mereka yang pernah atau sedang mengalami situasi ini. Jangan panik dan risau. Perkara ini biasa berlaku pada kebanyakan orang, termasuk saya. Situasi ini sebenarnya boleh diubah dengan mengubah strategi membeli-belah kita.

Langkah pertama ialah buatkan senarai barangan yang ingin dibeli. YA!, anda perlu menyenaraian segala benda yang diperlukan dahulu sebelum ke kompleks beli-belah. Kemudian anda mesti membeli barang-barang yang tersenarai dan mengendahkan yang lain. Biar saya ulang sekali lagi. Anda hanya perlu beli barang-barang yang disenaraikan sahaja dan mengendahkan yang lain. Walaupun pada ketika itu, anda ternampak sesuatu yang menarik atau sesuatu yang diperlukan pada masa akan datang. Anda perlu mendisiplinkan diri, cuba pejamkan mata dan berlalu pergi. Fikir dan yakinkan pada diri anda bahawa adakah barangan itu benar-benar berguna, seandainya ia berguna anda boleh menyenaraikan dan membeli ketika anda berkunjung ke situ sekali lagi.

Kita juga boleh menjimatkan wang dengan cara tidak membeli-belah dalam keadaan lapar, dahaga atau letih. Ini kerana ketiga-tiga keadaan tersebut akan melemahkan daya ketahanan diri dan membuat kita mudah terpengaruh untuk membeli lebih banyak barangan daripada apa yang diperlukan. Yang lebih buruk lagi, kita mungkin terbeli barang/benda yang tidak diperlukan. Akibatnya, kita telah berbelanja lebih daripada apa yang dirancang.

Jadi, jika biasanya anda pergi makan selepas membeli-belah, lakukan sebaliknya. Makan dahulu dan kemudian baru membeli-belah. Anda boleh berjimat dengan hanya melakukan perkara yang mudah ini. Berikut merupakan satu lagi strategi yang boleh dipraktikkan bersama seandainya, anda masih belum juga dapat berjimat. Cuba bawa kalkulator ketika membeli-belah. Setiap kali anda memegang sesuatu, masukkan harganya ke dalam kalkulator dan kira jumlah yang akan dibelanjakan. Langkah ini diharapkan dapat membantu anda mengawal wang yang akan dibelanjakan. In Sha ALLAH.
Sekiranya anda gagal untuk merancang, anda sebenarnya merancang untuk gagal..



 
Suatu perkara yang sering kita terlepas pandang atau ambil berat ialah bil telefon. Oleh kerana kita sedang membincangkan perkara-perkara yang membuatkan kita sering mengalami masalah kewangan. Maka bil telefon kita juga perlu diberi perhatian dibincangkan. Memandang ramai orang, boleh dikatakan hampir semua orang kini memiliki telefon dan menggunakan kemudahan telekomunikasi tersebut. Kebanyakan orang membayar bil telefon sebanyak RM300 hingga RM400 malah lebih, setiap bulan. Ini tidak termasuk bil telefon bimbit yang sudah tentunya lebih tinggi.
Hanya segelintir sahaja yang mengangapnya sbagai perbelanjaan yang berlebihan.

Sebenarnya ia juga salah satu contoh perbelanjaan yang berlebihan. Kenapa? Mari kita sama-sama bincangkan. Kita membayar untuk bercakap. Jika membeli sesuatu, sekurang-kurangnya kita mendapat barangnya. Tetapi tidak dengan telefon. Kita bercakap dan justeru kita perlu membayar, walaupun kita tidak memperolehi sesuatu yang boleh dipegang atau dilihat. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan mengatakan bahawa mereka menggunakan telefon untuk memupuk hubungan suami/isteri/ibubapa/sahabat handai. Kasih sayang boleh bersemi dan dipupuk menerusi hubungan telefon. Saya bersetuju bahawa kita seharusnya memelihara silaturahim sesama kita. Tetapi! Ini tidak bererti bahawa kita perlu bergayut di telefon selama DUA jam, sedangkan 10 minit sudah memadai. Kasih sayang bukan diukur berdasarkan berapa lama kita berbual di telefon. Pelbagai cara lain yang oleh dilakukan lagi. Tapi, yang anehnya. Apabila kita berjauhan, ramai orang boleh bercakap berjam-jam lamanya di telefon. Namun, apabila mereka berada disisi orang yang dikasihi, mereka jarang berbual! ( seolah-oleh mereka tiada idea untuk dibualkan). Apabila mereka bersemuka dan boleh bercakap selama mana yang mahu dengan percuma dan tanpa dikenakan apa-apa bayaran, mereka sebaliknya menonton televisyen. Aneh sungguh orang yang sebegini, mereka lebih gemar bercakap berjam-jam lamanya di telefon dan dikenakan bayaran.Ish... ish.. Fikirkan lah.